KUALA LUMPUR: Lew Yoong Kint menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan untuk muncul juara Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium MetLife, New Jersey pada 19 Julai lalu, secara langsung dari tempat duduk penonton.
Ia hasil tajaan Visa, selepas beliau muncul pemenang hadiah utama kempen 'Kita Punya Impian, Dari Sorakan Jadi Pemenang!' anjuran Eco-Shop.
Bersama seorang pengiring, Yoong Kint diterbangkan ke Amerika Syarikat (AS) dalam perjalanan yang ditaja sepenuhnya selepas menyertai kempen seluruh negara itu menerusi pembelian biasa di cawangan Eco-Shop.
Diilhamkan oleh minat bapanya terhadap bola sepak serta sokongan yang tidak pernah pudar kepada pasukan Sepanyol, Yoong Kint berkata peluang menyaksikan pasukan itu menjulang trofi di depan mata menjadi detik yang 'tidak akan dilupakan sampai bila-bila'.
Kempen Kita Punya Impian, Dari Sorakan Jadi Pemenang! merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar Eco-Shop untuk menjadikan setiap pembelian harian sebagai pengalaman yang bermakna kepada pelanggan.
Dianjurkan di 437 cawangan Eco-Shop di seluruh negara, kempen itu menerima sebanyak 177,634 penyertaan layak daripada ahli yang berbelanja sekurang-kurangnya RM45 bagi setiap resit menggunakan kad Visa.
Hadiah utama bernilai kira-kira RM250,000 yang ditanggung sepenuhnya oleh Eco-Shop merangkumi Pakej Hospitaliti Visa serta tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur–New York untuk Yoong Kint dan pengiringnya.
Selain itu, 10 peserta akhir menerima pakej cenderamata eksklusif Piala Dunia FIFA 2026, manakala 100 pemenang hadiah sagu hati menerima baucar tunai Eco-Shop bernilai RM50.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Eco-Shop Malaysia, Jessica Ng, berkata sambutan terhadap kempen itu membuktikan rakyat Malaysia semakin menghargai pengalaman yang melangkaui aktiviti membeli-belah harian.
"Di Eco-Shop, kami percaya pengalaman yang bermakna mampu mencipta kenangan yang berkekalan buat pelanggan. Kami amat gembira dapat merealisasikan impian salah seorang pelanggan kami sambil meraikan keterujaan dan semangat perpaduan yang dibawa oleh bola sepak kepada peminat di seluruh dunia.
"Pengalaman ini turut menggalakkan kami untuk terus meneroka pelbagai inisiatif yang mampu memberikan nilai tambah serta mencipta detik-detik yang sukar dilupakan pada masa hadapan," katanya.
Berkongsi pengalamannya, Yoong Kint berkata: "Kami amat berterima kasih kepada Eco-Shop kerana menjadikan pengalaman ini satu kenyataan.
"Menyaksikan Sepanyol menjulang trofi secara langsung dari tempat duduk penonton adalah sesuatu yang tidak pernah saya bayangkan dapat dialami sendiri. Ia benar-benar pengalaman sekali seumur hidup dan saya bersyukur Eco-Shop memberi peluang kepada saya dan isteri untuk menjadi sebahagian daripadanya."
























