BH Online
Ringkasan Berita

Mid Valley Southkey JB pacu lonjakan pendapatan IGB REIT - BIMB Research

KUALA LUMPUR: Kemasukan Mid Valley Southkey (MVS) di Johor Bahru kini menjadi pemacu utama pertumbuhan portfolio IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT), disokong permintaan kukuh daripada pengunjung dan penyewa peruncitan.
Mid Valley Southkey JB pacu lonjakan pendapatan IGB REIT - BIMB Research

Mid Valley Southkey Johor Bahru.

KUALA LUMPUR: Kemasukan Mid Valley Southkey (MVS) di Johor Bahru kini menjadi pemacu utama pertumbuhan portfolio IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT), disokong permintaan kukuh daripada pengunjung dan penyewa peruncitan.

Berdasarkan nota penyelidikan BIMB Securities Research, pusat beli-belah berkenaan menyumbang hasil kasar tambahan sekitar RM156 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026 (6MFY26).

Penganalisis BIMB Securities Research, Kelvin Ong berkata, MVS dijangka terus menerima manfaat daripada peningkatan trafik pengunjung, khususnya pelanggan dari Singapura.

"Sebagai salah satu destinasi peruncitan utama di Johor Bahru, MVS dijangka terus meraih manfaat besar daripada peningkatan trafik pengunjung, terutamanya dari Singapura," katanya.

Menurut beliau, pertumbuhan kunjungan ke Johor Bahru dijangka semakin rancak selepas penyiapan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link pada masa akan datang.

Daya tarikan MVS turut diterjemahkan menerusi kadar hunian tertinggi dalam portfolio IGB REIT apabila pusat beli-belah itu merekodkan kadar penghunian hampir penuh sebanyak 99.8 peratus bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26).

Prestasi itu mencerminkan permintaan berterusan daripada penyewa peruncitan terhadap lokasi berkenaan.

Secara keseluruhan, kadar hunian portfolio IGB REIT kekal kukuh pada 99.4 peratus, menunjukkan ketahanan sektor runcit fizikal walaupun landskap peruncitan terus berubah.

Selain MVS, dua lagi pusat beli-belah utama milik IGB REIT di Kuala Lumpur turut mencatat kadar hunian tinggi iaitu Mid Valley Megamall pada 99.4 peratus dan The Gardens Mall pada 99.0 peratus.

Dari segi prestasi kewangan, pendapatan boleh agih IGB REIT bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026 melonjak 48.2 peratus tahun ke tahun kepada RM330.1 juta.

BIMB Securities Research berkata, peningkatan itu didorong sumbangan pendapatan sulung daripada MVS selepas proses pengambilalihan aset berkenaan selesai pada suku keempat tahun lalu.

Selain prestasi operasi yang kukuh, IGB REIT turut mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil dengan nisbah penggearan bersih sebanyak 30.2 peratus setakat akhir suku kedua tahun kewangan 2026.

Kedudukan itu memberikan ruang kewangan kepada IGB REIT untuk meneroka peluang pemerolehan aset baharu dalam usaha meningkatkan potensi pendapatan kumpulan pada masa hadapan.

Video Terkini

Berita Berkaitan