Eco-Shop Marketing Bhd kekal komited untuk mengekalkan harga jualan barangan walaupun berdepan tekanan peningkatan kos operasi susulan konflik geopolitik yang berterusan di Timur Tengah.
Menurut nota penyelidikan RHB Investment Bank Bhd (RHB), pihak pengurusan syarikat secara konservatif menyasarkan margin keuntungan kasar bagi tahun kewangan 2027 pada tahap 33 hingga 34 peratus bagi menghadapi cabaran kos berkenaan.
Penganalisis RHB Research, Wei Siang Soong berkata, strategi mengekalkan harga dijangka membantu syarikat meningkatkan semula daya saing dalam pasaran peruncitan bajet.
"Kami percaya situasi ini juga mampu membantu syarikat meraih semula daya saing harga kerana pesaing bukan berasaskan kedai bajet berkemungkinan besar akan melepaskan kos yang lebih tinggi ini, manakala Eco-Shop akan mengekalkan harganya," katanya dalam laporan berkenaan.
Bahagia penyelidikan bank pelaburan itu berkata, sebarang tekanan terhadap margin keuntungan dijangka dapat dikurangkan menerusi strategi pengoptimuman unit simpanan stok, peningkatan jualan daripada produk jenama sendiri serta manfaat skala operasi syarikat yang besar.
Dari sudut industri, RHB Research menjangkakan segmen kedai bajet terus berkembang berikutan perubahan corak perbelanjaan pengguna yang semakin memilih barangan pada harga lebih rendah, sekali gus membuka ruang pertumbuhan lebih luas kepada pemain industri.
Bagi rancangan pengembangan, Eco-Shop menyasarkan pembukaan 100 cawangan baharu pada masa hadapan bagi menyokong pertumbuhan jualan.
Pada tahun kewangan 2026, syarikat itu menambah 91 cawangan baharu secara bersih, mewakili peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dari segi prestasi kewangan, keuntungan bersih teras Eco-Shop bagi tahun kewangan 2026 meningkat 24 peratus kepada RM265 juta berbanding tahun sebelumnya.
Pendapatan tahunan pula meningkat lima peratus kepada RM2.9 bilion, mendorong RHB Research mengekalkan saranan "Beli" terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM1.82.
Dalam aspek kelestarian alam sekitar, Eco-Shop meneruskan usaha mengurangkan sisa menerusi pemansuhan penggunaan beg plastik sepenuhnya selaras dengan amalan pematuhan peraturan alam sekitar.
Selain itu, syarikat berkenaan turut melancarkan program kitar semula bateri di seluruh cawangan di Semenanjung Malaysia sejak Mac 2025 bagi membantu mengurangkan sisa berbahaya.
























