KUALA LUMPUR: MR D.I.Y. Group (M) Bhd melancarkan MR.DIY Club, program kesetiaan pertama yang direka untuk memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia atas pembelian harian mereka, sekali gus membolehkan keluarga mengumpul dan menikmati faedah bersama.
Program itu menawarkan mata ganjaran dalam aplikasi atas pembelian, baucar tunai, ganjaran hari lahir serta akses kepada acara dan bengkel eksklusif.
Teras kepada program berkenaan adalah ciri Akaun Keluarga yang membolehkan sehingga lima ahli keluarga menghubungkan keahlian masing-masing dan menggabungkan mata ganjaran di bawah satu akaun kongsi, sekali gus membantu mereka menebus ganjaran dengan lebih cepat sebagai sebuah keluarga.
Naib Presiden Kanan Pemasaran MR D.I.Y., Alex Goh, berkata program itu diwujudkan sebagai penghargaan kepada berjuta-juta rakyat Malaysia yang menjadikan MR D.I.Y. sebahagian daripada kehidupan seharian mereka.
"Ramai pelanggan membeli-belah bersama kami sebagai keluarga, justeru kami mahu mewujudkan satu program yang memberi ganjaran bukan sahaja kepada pembeli individu, tetapi seluruh isi rumah.
"MR.DIY Club membolehkan keluarga mengumpul mata ganjaran bersama, menikmati nilai yang lebih baik serta berkongsi pengalaman melangkaui urusan pembelian di kaunter," katanya ketika majlis pelancaran MR.DIY Club di sini, hari ini.
Ahli MR.DIY Club akan memperoleh satu mata ganjaran bagi setiap RM1 yang dibelanjakan. '
Mata yang terkumpul boleh ditebus untuk baucar tunai yang boleh digunakan bagi pembelian pada masa hadapan.
Ahli baharu juga akan menerima ganjaran alu-aluan sebanyak 400 mata serta menikmati lima kali ganda mata ganjaran biasa untuk pembelian dalam bulan kelahiran mereka.
Dalam aplikasi itu, ahli turut memperoleh satu 'bag' bagi setiap RM20 yang dibelanjakan, yang memberikan akses kepada acara dan bengkel eksklusif.
'Bag' yang diperoleh menerusi Akaun Keluarga yang dipautkan boleh digabungkan yang membolehkan seluruh keluarga menikmati manfaat bersama.
Dalam perkembangan sama, MR D.I.Y. melantik pelakon Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin, atau lebih dikenali sebagai SamTilla, sebagai duta keluarga jenama MR.DIY Club.
Pasangan selebriti itu dipilih kerana keperibadian mereka yang mesra, mencuit hati serta kehidupan keluarga yang sederhana dan dekat di hati ramai, sekali gus mencerminkan semangat program berkenaan.
Dalam pada itu, MR D.I.Y. mempromosikan pelbagai manfaat utama aplikasi MR.DIY Club sempena pelancarannya termasuk ganjaran pendaftaran segera sebanyak 400 mata, pengumpulan mata keluarga, ganjaran hari lahir lima kali ganda mata, penebusan mata ganjaran, tawaran eksklusif serta faedah VIP kepada ahli.
Ahli baharu yang memuat turun aplikasi MR.DIY Club dan mendaftar semasa siri jelajah berkenaan berpeluang menyertai pelbagai aktiviti serta memutar roda ganjaran khas untuk menerima barangan eksklusif MR.DIY Club, termasuk payung, tuala dan tali pemegang telefon.
MR D.I.Y. ketika ini mempunyai rangkaian lebih 1,500 cawangan di seluruh negara menerusi tiga jenama utama iaitu MR D.I.Y., MR. DOLLAR dan MR. TOY.
























