BH Online
Ringkasan Berita

AirBorneo sasar tambah penerbangan Kuching-Singapura tahun ini

SINGAPURA: AirBorneo Airways (AirBorneo), syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, menjangkakan permintaan yang kukuh bagi laluan antarabangsa pertamanya antara Kuching dan Singapura susulan penerbangan sulung yang dilancarkan pada 22 Julai.
AirBorneo sasar tambah penerbangan Kuching-Singapura tahun ini

Gambar fail. Pesawat Boeing 737-800 milik AirBorneo di KLIA. - BERNAMA

SINGAPURA: AirBorneo Airways (AirBorneo), syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak, menjangkakan permintaan yang kukuh bagi laluan antarabangsa pertamanya antara Kuching dan Singapura susulan penerbangan sulung yang dilancarkan pada 22 Julai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Megat Ardian Wira, berkata syarikat penerbangan itu optimis terhadap operasi jet baharunya selepas menerima sambutan menggalakkan daripada rakyat Singapura, terutama menjelang musim perayaan akan datang.

Beliau berkata, maklum balas positif itu didorong oleh tambang yang kompetitif, bermula daripada RM399 sehala termasuk semua caj bagi kelas ekonomi dan RM871 bagi kelas perniagaan.

"Walaupun kami baharu sahaja membuka jualan tiket pada 13 Julai lalu, kami telah menyaksikan sambutan yang amat baik bagi tempoh perayaan Tahun Baharu Cina tahun depan.

"Kami menerima permintaan yang sangat baik, dan penerbangan pertama semalam juga sangat baik dengan operasi berjalan dengan lancar," katanya kepada Bernama selepas taklimat media hari ini.

Penerbangan sulung AirBorneo MY363 berlepas dari Kuching pada jam 6.50 petang semalam dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada jam 8.04 malam, manakala penerbangan balik MY364 berlepas dari Singapura pada jam 9.27 malam sebelum tiba di Kuching pada jam 10.36 malam.

Pelancaran laluan itu bersempena sambutan Hari Sarawak dan menjadi laluan antarabangsa pertama AirBorneo, sekali gus mencerminkan pertumbuhan berterusan negeri itu serta visinya untuk muncul sebagai pintu masuk dinamik ke rantau ini.

Megat Ardian berkata laluan baharu itu menjadi permulaan kepada pengembangan rangkaian antarabangsa AirBorneo.

"Singapura sangat sesuai sebagai pilihan destinasi antarabangsa pertama kami, mencerminkan hubungan yang kukuh termasuk dari segi ekonomi antara Sarawak dengan salah satu hab komersial dan penerbangan utama di rantau ini.

"Kami berharap dapat menghubungkan Sarawak dengan lebih banyak destinasi, meningkatkan hubungan serantau dan menyokong pertumbuhan jangka panjang negeri," katanya.

AirBorneo kini mengendalikan penerbangan harian antara Kuching dan Singapura.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Megat Ardian berkata syarikat penerbangan itu akan meneliti kemungkinan menambah kekerapan penerbangan menjelang akhir tahun ini.

"Sebaik sahaja kami menerima beberapa lagi pesawat, kami akan meningkatkan penerbangan harian kepada dua kali sehari, dan mungkin pada suku pertama tahun depan, kita akan menyaksikan penerbangan harian bertambah kepada tiga," katanya.

– BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan