BH Online
Ringkasan Berita

Maybank dinobat bank terbaik global bagi tanggungjawab korporat

KUALA LUMPUR: Maybank mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai Bank Terbaik Dunia bagi Tanggungjawab Korporat buat kali pertama pada Anugerah Kecemerlangan Euromoney 2026.
Maybank dinobat bank terbaik global bagi tanggungjawab korporat

Ibu pejabat Maybank di Menara Merdeka 118. - NSTP/ HARI ANGGARA.

KUALA LUMPUR: Maybank mencipta sejarah apabila diiktiraf sebagai Bank Terbaik Dunia bagi Tanggungjawab Korporat buat kali pertama pada Anugerah Kecemerlangan Euromoney 2026.

Pengiktirafan itu meletakkan Maybank sebagai satu daripada hanya dua bank yang beribu pejabat di Asia yang menerima anugerah peringkat global pada tahun ini.

Berdasarkan kenyataan media syarikat, pencapaian itu mencerminkan kepimpinan Maybank dalam menerapkan impak sosial merentas operasinya bagi memperkukuh keterangkuman kewangan serta menyokong pembangunan komuniti.

Kejayaan itu turut didorong oleh komitmen bank berkenaan terhadap pembiayaan bertanggungjawab dan usaha memperkukuh kelestarian alam sekitar menerusi program Pembiayaan Sosial dan Pemerkasaan Sosial.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli, berkata pengiktirafan itu mengukuhkan lagi misi bank berkenaan untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan.

Beliau berkata, Maybank kekal komited menjana nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan menerusi perbankan berasaskan nilai, pertumbuhan inklusif dan amalan perniagaan mampan.

"Ini merupakan suatu penghormatan bermakna bagi Maybank untuk diiktiraf sebagai juara dalam bidang Tanggungjawab Korporat di peringkat global, pada masa yang sama melengkapi pelbagai anugerah di peringkat serantau dan negara yang diterima daripada Euromoney," katanya.

Khairussaleh berkata, selaras dengan aspirasi ROAR30, komitmen Maybank dalam Menjana Impak Positif kepada Masyarakat kekal menjadi faktor pembeza utama dalam mewujudkan nilai bermakna kepada pelanggan di semua pasarannya.

Pada Anugerah Kecemerlangan Euromoney 2026, Maybank meraih keseluruhan 13 anugerah merentasi pelbagai kategori, termasuk tiga pengiktirafan serantau baharu iaitu Bank Terbaik Asia bagi Kepelbagaian dan Keterangkuman, selain anugerah Bank Terbaik bagi ESG.

Sebagai satu-satunya bank dari Asia Tenggara yang mempunyai kehadiran di 10 pasaran ASEAN, Maybank turut menerima pengiktirafan sebagai Bank Terbaik ASEAN bagi Syarikat Korporat Besar.

Di Malaysia, Maybank turut dinobatkan sebagai Bank Terbaik Malaysia buat kali ketujuh sejak pertama kali menerima pengiktirafan itu pada 2018.

"Kami mendedikasikan pencapaian ini kepada para penerima manfaat kami. Kepercayaan dan kerjasama mereka membolehkan kami membawa perubahan yang bermakna, berserta setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan, kakitangan dan semua pihak berkepentingan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan