BH Online
Ringkasan Berita

CTRM diiktiraf antara terbaik dalam industri aeroangkasa global

KUALA LUMPUR: CTRM Holdings Sdn Bhd (CTRM), anak syarikat DRB-HICOM Bhd, merangkul Anugerah Asia Best Maturity 2026 pada majlis Aero Excellence International 2026 Best Maturity Awards di United Kingdom.
CTRM diiktiraf antara terbaik dalam industri aeroangkasa global

KUALA LUMPUR: CTRM Holdings Sdn Bhd (CTRM), anak syarikat DRB-HICOM Bhd, merangkul Anugerah Asia Best Maturity 2026 pada majlis Aero Excellence International 2026 Best Maturity Awards di United Kingdom.

Pengiktirafan itu diterima menerusi CTRM Aero Composites Sdn Bhd selepas syarikat berjaya mencapai Tahap Kematangan Gangsa (Bronze Maturity Level) di bawah Program Penilaian Industri Aero Excellence.

CTRM mencatat skor melebihi 90 peratus dalam lima domain penilaian, merangkumi pengurusan sumber organisasi, perancangan dan logistik serta kecemerlangan pembuatan.

Penilaian berkenaan dilaksanakan pada September tahun lalu oleh tujuh penilai bertauliah yang menilai 776 aspek operasi industri dan pembuatan syarikat.

Sehingga kini, hanya 82 daripada 239 syarikat yang dinilai di seluruh dunia berjaya mencapai Tahap Kematangan Gangsa, sekali gus mencerminkan standard penilaian yang ketat.

Selain memenuhi syarat pensijilan Tahap Gangsa, CTRM turut mencapai lebih 67 peratus daripada kriteria Tahap Perak dan 27 peratus daripada kriteria Tahap Emas.

Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof, berkata pengiktirafan itu membuktikan komitmen warga kerja syarikat dalam mengekalkan standard operasi bertaraf global.

Beliau berkata, keputusan penilaian itu turut mengesahkan kekuatan sistem operasi, keupayaan pembuatan serta budaya penambahbaikan berterusan yang diamalkan syarikat.

"Pencapaian skor melebihi 90 peratus dalam kesemua lima domain penilaian, di samping memenuhi pelbagai kriteria Tahap Perak dan Tahap Emas, membuktikan komitmen kami untuk menanda aras prestasi berdasarkan standard kecemerlangan industri yang diiktiraf di peringkat global.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan atas keyakinan mereka terhadap CTRM. Kami juga menghargai sokongan Airbus dan Collins Aerospace dalam memajukan kecemerlangan industri merentasi rantaian bekalan aeroangkasa.

"Pencapaian ini mengukuhkan tekad CTRM untuk terus menyampaikan kualiti, kebolehpercayaan dan nilai terbaik kepada pelanggan kami di seluruh dunia," katanya. - Bernama

Video Terkini

Berita Berkaitan