BH Online
Ringkasan Berita

WD Malaysia dapat 3 pengiktirafan atas usaha pacu infrastruktur AI lebih mampan

KUALA LUMPUR: Western Digital (WD) Malaysia menerima tiga pengiktirafan menerusi Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2026 serta Anugerah Personaliti Kelestarian Asia 2026.
WD Malaysia dapat 3 pengiktirafan atas usaha pacu infrastruktur AI lebih mampan

WD Malaysia menerima Anugerah Syarikat Terbaik (Pembuatan & Teknologi) di bawah kategori Inovasi Hijau & Transformasi Kelestarian - Foto ihsan WD Malaysia

KUALA LUMPUR: Western Digital (WD) Malaysia menerima tiga pengiktirafan menerusi Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2026 serta Anugerah Personaliti Kelestarian Asia 2026.

Pengiktirafan itu mengiktiraf komitmen syarikat terhadap amalan pembuatan mampan, pembangunan tenaga kerja dan inovasi storan yang menyokong pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).

Ia merangkumi Anugerah Syarikat Terbaik (Pembuatan & Teknologi) di bawah kategori Inovasi Hijau & Transformasi Kelestarian, selain dua pengiktirafan individu kepada Naib Presiden Kanan Operasi Global WD, Dr Chandramogan Anamirtham, yang menerima Anugerah Pemimpin Berwawasan ESG serta Pengurus Persekitaran, Kesihatan dan Keselamatan (EHS) WD, Ts Freddy Kho, yang menerima Anugerah Sustainability Practitioner.

Dalam kenyataan hari ini, WD berkata pengiktirafan berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam menerapkan amalan kemampanan di seluruh operasinya di Malaysia, termasuk fasiliti di Sarawak, Pulau Pinang dan Johor, yang menyokong pembangunan teknologi storan bagi memenuhi permintaan global terhadap penyimpanan data.

Menurut syarikat itu, pertumbuhan pesat penggunaan AI di seluruh dunia meningkatkan keperluan terhadap infrastruktur data yang lebih cekap dan mampan, dengan teknologi storan memainkan peranan penting dalam membantu mengurangkan penggunaan tenaga, keperluan penyejukan serta infrastruktur fizikal.

Dr Chandramogan berkata, di WD, kemampanan bukan sekadar pelengkap kepada kecemerlangan pembuatan, sebaliknya menjadi asas kepada inovasi, operasi dan pertumbuhan syarikat.

"Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi kolektif pasukan kami di Malaysia dan seluruh dunia dalam memperkasa pembuatan yang bertanggungjawab serta operasi yang mampan, di samping mewujudkan nilai jangka panjang kepada pekerja, pelanggan dan ekosistem teknologi secara keseluruhannya.

"Dengan peningkatan permintaan global terhadap penyimpanan data dipacu AI, setiap penambahbaikan yang kami laksanakan dalam operasi membantu pelanggan membangunkan infrastruktur AI dengan lebih cekap melalui penggunaan tenaga, ruang dan sumber yang lebih rendah," katanya.

WD berkata, operasi di Malaysia turut menyokong sasaran kemampanan global syarikat, termasuk mencapai penggunaan 100 peratus tenaga bebas karbon menjelang tahun kewangan 2030 serta pelepasan sifar bersih Skop 1 dan Skop 2 menjelang tahun kewangan 2032.

Syarikat itu turut memaklumkan fasiliti WD di Sarawak telah mengurangkan 100 peratus pelepasan Skop 2 berasaskan pasaran sejak tahun kewangan 2024 menerusi perjanjian Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) dengan Sarawak Energy Bhd.

Selain aspek operasi, WD berkata syarikat terus melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti melalui program pendidikan, STEM, kesukarelawanan pekerja dan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyokong pembangunan bakat serta transformasi digital negara.

Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2026 dan Anugerah Personaliti Kelestarian Asia 2026 dianjurkan oleh Penerbitan CSR Malaysia bersama Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia bagi mengiktiraf organisasi serta individu yang menyumbang kepada agenda kemampanan dan pembangunan sosioekonomi negara.

Video Terkini

Berita Berkaitan