KUALA LUMPUR: Pengurusan sisa elektronik (e-waste) secara beretika dan berprestasi tinggi semakin penting bagi memastikan pertumbuhan mampan industri elektrik dan elektronik (E&E), terutama ketika sektor itu terus menjadi pemacu utama ekonomi negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Shan Poornam serta Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Cenviro, Adi Saufi Daud, berkata Malaysia kini berada pada persimpangan kritikal dalam pengurusan e-waste susulan peningkatan penggunaan barangan elektronik dan jangka hayat produk yang semakin pendek.
Beliau berkata, keadaan itu memerlukan sistem pengurusan e-waste yang lebih telus, mematuhi piawaian serta mempunyai keupayaan pengesanan yang kukuh.
Jelasnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menganggarkan Malaysia menjana 24.5 juta unit e-waste pada 2025, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan jumlah e-waste global mencecah 82 juta tan menjelang 2030.
"Tanpa pengawasan dan sistem beretika untuk sektor kitar semula, sejumlah besar e-waste ini berisiko masuk ke saluran haram akibat pengawasan yang lemah dan amalan yang tidak mematuhi piawaian.
"Penerapan piawaian yang tegas serta akauntabiliti dapat menghapuskan insentif ekonomi bagi pengurusan e-waste haram dan melindungi pengendali yang mematuhi peraturan.
"Sudah tentu, sektor kitar semula yang ditadbir dengan baik adalah asas ekonomi kitaran Malaysia dengan mengubah sisa berbahaya menjadi nilai ekonomi sambil memelihara kelestarian dan daya tahan alam sekitar negara," katanya kepada BH.

Beliau berkata, sektor E&E yang menjadi segmen industri terbesar negara memerlukan ekosistem pengurusan produk akhir hayat yang dipercayai dan patuh bagi memastikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), eksport, pelaburan serta peluang pekerjaan dapat dipacu secara mampan.
Justeru, Adi Saufi berkata, Shan Poornam membawa kepakaran teknikal yang kukuh dalam pemprosesan e-waste serta hubungan yang telah lama terjalin dengan pelanggan daripada pelbagai sektor termasuk semikonduktor, E&E, tenaga, IT dan pembuatan ketepatan.
Shan Poornam menawarkan perkhidmatan kepada beberapa syarikat multinasional terkemuka dalam sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) yang mempunyai keperluan operasi dan pematuhan yang tinggi.
Bersama-sama, ia mampu menawarkan penyelesaian yang lebih menyeluruh dan lancar kepada pelanggan. Dengan pertumbuhan e-waste yang semakin berkembang di seluruh dunia, integrasi yang kukuh ini meletakkan Kumpulan Cenviro dalam kedudukan yang lebih teguh untuk menerajui industri secara lestari dan bertanggungjawab.
"Dengan lebih enam dekad pengalaman serta keupayaan pemprosesan dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang canggih, kami mampu mengekstrak semula pelbagai jenis logam bernilai seperti aluminium, kuprum, emas, perak, platinum, paladium, nikel dan timah dengan ketulenan sehingga 99.99 peratus untuk digunakan semula dalam industri.
"Selain pemulihan bahan, kami turut membantu pelanggan mengurus aliran e-waste yang semakin kompleks serta bersedia menyokong pelaksanaan Extended Producer Responsibility (EPR) dan keperluan pelaporan kelestarian yang semakin penting kepada industri.
"Peranan ini menjadi semakin relevan apabila landskap kawal selia dan jangkaan pasaran terus berkembang," katanya.
Menurut beliau, syarikat itu juga sedang membangunkan keupayaan pelaporan Jejak Karbon Produk (Product Carbon Footprint) bagi membantu pelanggan memahami manfaat pengurangan karbon melalui penggunaan bahan kitar semula berbanding bahan mentah baharu.
Pada masa yang sama, Shan Poornam terus meneroka peluang baharu dalam pemulihan sumber, termasuk logam peralihan, logam kumpulan platinum, unsur nadir bumi dan bahan bernilai tinggi lain yang semakin mendapat permintaan dalam ekonomi masa hadapan.
Mengulas isu kemasukan haram e-waste ke dalam negara, Adi Saufi berkata, Shan Poornam bersedia membantu kerajaan memutuskan rantaian pasaran gelap serta menyediakan infrastruktur alternatif bagi menyekat lambakan e-waste haram.
"Di bawah pimpinan Kumpulan Cenviro (anak syarikat Khazanah Nasional), syarikat menyediakan fasiliti Environmentally Sound Management (ESM) berkapasiti tinggi dan perkhidmatan IT Asset Disposition (ITAD) bagi memastikan komponen elektronik dimusnahkan secara menyeluruh, selamat dan terkawal.
"Shan Poornam juga bersedia bertindak sebagai rakan strategik kerajaan untuk memproses baki sisa sitaan menggunakan teknologi hijau penapisan logam yang selamat, sekiranya sisa berkenaan tidak dapat dihantar pulang ke negara asal," katanya.
Beliau berkata, integrasi Shan Poornam ke dalam Kumpulan Cenviro akan melengkapkan keseluruhan rantaian nilai e-waste, bermula daripada pengumpulan dan rawatan sehingga pemulihan bahan serta pelupusan akhir yang selamat.
"Fokus kami adalah untuk terus mengukuhkan kedudukan Shan Poornam sebagai peneraju yang dipercayai dalam industri kitar semula e-waste, di samping melengkapi ekosistem pengurusan sisa bersepadu yang telah lama dibangunkan oleh Kumpulan Cenviro," katanya.
























