KUALA LUMPUR: AmBank Group dengan kerjasama RAMS Fintech Sdn Bhd, anak syarikat milik tidak langsung penuh Ramssol Group Bhd, melancarkan platform Pay Day Now, iaitu penyelesaian akses gaji awal (EWA) yang membolehkan pekerja mengakses sehingga 25 peratus daripada gaji yang telah diperoleh sebelum hari pembayaran gaji.
Pelancaran platform berkenaan disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim di sini, hari ini.
Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan AmBank Group, Christopher Yap, berkata sejak kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada 2024, mereka telah bekerjasama rapat bagi membangunkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada majikan dan pekerja sebelum berjaya dilancarkan selepas dua tahun.
"Melalui integrasi Pay Day Now dengan AmBank, kami membantu majikan menyediakan akses lebih pantas kepada gaji yang telah diperoleh menerusi infrastruktur perbankan yang selamat dan dipercayai," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol Group, Datuk Wira Cllement Tan, berkata Pay Day Now membolehkan pekerja mengakses sebahagian gaji yang telah diperoleh setiap minggu bagi membantu mengurus keperluan aliran tunai jangka pendek tanpa perlu menunggu hari gaji.
Beliau berkata, penyelesaian berkenaan direka untuk organisasi pelbagai saiz, termasuk agensi sektor awam, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat korporat serta syarikat tersenarai awam.
"Pay Day Now membolehkan pekerja mengakses sebahagian daripada gaji yang telah diperoleh sebelum hari gaji bagi membantu mengurus perbelanjaan tidak dijangka serta mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan berkos tinggi.
"Penyelesaian itu tidak mengubah proses penggajian atau aliran tunai majikan, malah membolehkan syarikat menawarkan manfaat tambahan kepada pekerja tanpa meningkatkan beban operasi," katanya.
Sehingga suku pertama 2026, Malaysia merekodkan 16.7 juta tenaga kerja, meningkat satu peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan pekerja bergaji mewakili tiga daripada setiap empat tenaga kerja.
Dalam tempoh sama, kadar pengangguran negara kekal rendah pada 2.9 peratus, manakala kadar penyertaan tenaga buruh berada pada 70.9 peratus, menjadikan penyelesaian EWA semakin relevan sebagai manfaat tambahan kepada pekerja.
Bagi menyokong pelaksanaan platform itu, RAMS Fintech mengintegrasikan Pay Day Now dengan penyelesaian pengurusan tunai AmBank yang membolehkan pembayaran gaji dilaksanakan secara selamat menerusi infrastruktur pembayaran masa nyata.
Kerjasama itu turut menyokong usaha Bank Negara Malaysia (BNM) dan Payments Network Malaysia (PayNet) dalam memperluaskan penggunaan pembayaran digital, meningkatkan keterangkuman kewangan serta memperkukuh ekonomi digital negara.
























