BH Online
Ringkasan Berita

FUJIFILM mahu perluas penyelesaian AI, automasi pintar di Malaysia

KUALA LUMPUR: FUJIFILM Business Innovation Malaysia merancang meningkatkan pelaburan dalam penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan automasi pintar dalam tempoh lima tahun akan datang bagi mempercepat transformasi digital organisasi di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
FUJIFILM mahu perluas penyelesaian AI, automasi pintar di Malaysia

Hama (dua dari kiri) pada pada majlis sambutan ulang tahun ke-60 FUJIFILM Business Innovation Malaysia - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: FUJIFILM Business Innovation Malaysia merancang meningkatkan pelaburan dalam penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan automasi pintar dalam tempoh lima tahun akan datang bagi mempercepat transformasi digital organisasi di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FUJIFILM Business Innovation Corp, Naoki Hama, berkata Malaysia kekal sebagai pasaran strategik dalam rangkaian Asia Pasifik syarikat serta berperanan sebagai hab pertumbuhan untuk memperluaskan inisiatif transformasi digital di Asia Tenggara.

Beliau berkata, syarikat akan terus memperkukuh portfolio penyelesaian digitalnya, termasuk automasi aliran kerja, model bahasa besar (LLM), pengecaman aksara optik (OCR), pengurusan dokumen, perkhidmatan IT, keselamatan siber dan perkhidmatan terurus.

"AI kini menjadi faktor utama pertumbuhan syarikat kerana ia mampu meningkatkan kualiti membuat keputusan, memperkemas operasi serta membolehkan tenaga kerja memberi tumpuan kepada tugasan lebih kreatif dan bernilai tinggi.

"Transformasi ini didorong perubahan keperluan pelanggan yang kini beralih daripada penggunaan peralatan pejabat kepada pembinaan ekosistem digital yang menyokong operasi perniagaan secara menyeluruh," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-60 FUJIFILM Business Innovation Malaysia di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil, berkata ekonomi digital kini menyumbang 23.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan nilai kira-kira RM451.3 bilion.

"Perjalanan transformasi FUJIFILM mencerminkan evolusi ekonomi Malaysia daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada hab pembuatan, perkhidmatan dan kini ekonomi digital," katanya.

Beliau juga menyifatkan kejayaan syarikat itu sebagai bukti daya tahan dan keupayaan berinovasi, daripada perniagaan filem dan kamera kepada penyelesaian perniagaan pintar berasaskan automasi dan AI.

FUJIFILM Business Innovation Malaysia memulakan operasi di negara ini pada 1966 sebagai Rank Xerox sebelum dikenali sebagai Fuji Xerox dan dijenamakan semula kepada nama sekarang pada 2021.

Sepanjang tempoh itu, syarikat berkembang daripada penyedia penyelesaian dokumen kepada rakan transformasi digital yang menawarkan perkhidmatan cetakan terurus, automasi aliran kerja, pengurusan dokumen, penyelesaian awan, penyumberan luar proses perniagaan serta teknologi cetakan pengeluaran.

Sehingga Jun 2026, FUJIFILM Business Innovation Malaysia mempunyai kira-kira 450 pekerja di seluruh negara yang meliputi bidang jualan, perkhidmatan teknikal, sokongan pelanggan, operasi dan fungsi korporat.

Video Terkini

Berita Berkaitan