KUALA LUMPUR: Mitsui Shopping Park LaLaport Bukit Bintang City Centre (LaLaport BBCC) melancarkan Hab Pengangkutan LaLaport (LTH) bagi memperkukuhkan kemudahan mobiliti di pusat bandar Kuala Lumpur menerusi penyediaan hab pengangkutan yang menawarkan pengalaman perjalanan lebih selamat, selesa dan cekap kepada penumpang.
Pelancaran itu menjadi satu pencapaian penting bagi LaLaport BBCC apabila LTH dibangunkan dengan sokongan dan bimbingan kerajaan, selain diluluskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta diiktiraf dan dilesenkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai hab perkhidmatan bas ekspres di pusat bandar Kuala Lumpur, khususnya bagi laluan Kuala Lumpur-Singapura.
LTH yang beroperasi secara berperingkat sejak Februari lalu berfungsi sebagai hab transit berpusat bagi mengoptimumkan perjalanan menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti tinggi untuk kegunaan pengembara tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Urusan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd, Masayoshi Saito, berkata LTH adalah kemudahan mobiliti strategik yang bukan sahaja memudahkan perjalanan pengguna tempatan dan antarabangsa, malah menyokong agenda mobiliti mampan kerajaan serta pertumbuhan sektor pelancongan.
Beliau berkata, kedudukan hab di dalam pusat beli-belah membolehkan penumpang menikmati pelbagai kemudahan yang ditawarkan LaLaport BBCC sementara menunggu perjalanan mereka, termasuk kira-kira 300 premis merangkumi restoran, kedai runcit serta pelbagai pilihan hiburan.
"Pembangunan LTH turut mengambil inspirasi daripada hab pengangkutan bersepadu Mitsui Fudosan di Jepun seperti Tokyo Midtown Yaesu dan projek pembangunan semula Tsukiji yang menggabungkan kemudahan pengangkutan, peruncitan serta gaya hidup dalam satu destinasi," katanya kepada media selepas pelancaran LTH di sini, hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah Pembangunan APAD, Azrin Borhan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud; serta Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.
Terletak di aras LG1, East Atrium, hab berkenaan menyediakan kemudahan berbumbung sepenuhnya dengan 11 ruang parkir bas, ruang menunggu berhawa dingin, kaunter fizikal, mesin layan diri serta Sistem Paparan Maklumat Penumpang (PIDS) yang memaparkan jadual perjalanan bas secara masa nyata.
Pengguna turut mempunyai akses kepada pelbagai kemudahan di LaLaport BBCC termasuk mesin juruwang automatik (ATM), pengurup wang, loker simpanan bagasi, pemantauan keselamatan 24 jam, Wi-Fi percuma, tandas serta kemudahan mesra warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Dari aspek jaringan pengangkutan, LTH dihubungkan secara strategik dengan rangkaian pengangkutan awam utama melalui laluan pejalan kaki terus ke stesen LRT dan Monorel Hang Tuah, selain akses kepada rangkaian MRT berhampiran bagi memudahkan pertukaran antara perkhidmatan rel dan bas.
Kemudahan itu turut disokong perkhidmatan ulang-alik atas permintaan Boleh-Boleh Ride yang menghubungkan penumpang ke beberapa destinasi utama sekitar Kuala Lumpur, selain menyediakan zon khas bagi perkhidmatan e-hailing di pintu masuk Pudu dan Hang Tuah.
Kira-kira 30 pengendali bas dijangka menggunakan LTH sebagai hab transit utama di pusat bandar, khususnya bagi laluan rentas sempadan Kuala Lumpur-Singapura.
Hab itu juga menyediakan perkhidmatan van ulang-alik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 bagi memudahkan perjalanan penumpang ke lapangan terbang.
























