BH Online
Ringkasan Berita

Peniaga RHB kini boleh terima pembayaran QR dari enam negara Asia

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB) memperluas keupayaan pembayaran digital rentas sempadan apabila peniaga kini boleh menerima pembayaran kod QR daripada aplikasi perbankan dan e-dompet di enam negara Asia menerusi integrasi dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).
Peniaga RHB kini boleh terima pembayaran QR dari enam negara Asia

Peniaga RHB kini boleh menerima pembayaran QR daripada aplikasi perbankan dan e-dompet luar negara yang mengambil bahagian - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd (RHB) memperluas keupayaan pembayaran digital rentas sempadan apabila peniaga kini boleh menerima pembayaran kod QR daripada aplikasi perbankan dan e-dompet di enam negara Asia menerusi integrasi dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Melalui integrasi itu, peniaga RHB kini boleh menerima pembayaran QR daripada aplikasi perbankan dan e-dompet yang mengambil bahagian dari China, Singapura, Indonesia, Kemboja, Thailand dan Korea Selatan.

Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan RHB, Nurjesmi Mohd Nashir, berkata inisiatif itu dijangka memudahkan pelancong asing membuat pembayaran menggunakan kaedah yang biasa digunakan di negara asal mereka, sekali gus membuka peluang kepada peniaga tempatan meningkatkan jualan.

Beliau berkata, peningkatan jumlah pelawat serantau dan antarabangsa menjadikan penyediaan kaedah pembayaran yang mudah, selamat serta dikenali pengguna sebagai satu keperluan.

"Melalui kerjasama dengan PayNet, peniaga RHB kini boleh menerima pembayaran QR daripada aplikasi perbankan dan e-dompet luar negara yang mengambil bahagian, sekali gus memudahkan pelanggan antarabangsa berurus niaga menggunakan kaedah pembayaran yang mereka percayai," katanya dalam satu kenyataan.

Pelanggan RHB turut boleh membuat pembayaran QR di Singapura, Indonesia, Kemboja dan Thailand menggunakan aplikasi RHB Mobile Banking tanpa perlu memuat turun aplikasi pembayaran tambahan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial PayNet, Azrul Fakhzan Mainor, berkata peluasan penerimaan pembayaran QR rentas sempadan itu mencerminkan kerjasama seluruh ekosistem pembayaran dalam memperkukuh kemudahan transaksi digital untuk peniaga tempatan dan pelawat antarabangsa.

Beliau berkata, inisiatif itu dijangka memberi impak lebih besar ketika kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka merangsang sektor pelancongan serta meningkatkan perbelanjaan rentas sempadan.

"Usaha ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan pembayaran serantau, malah membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan tempatan untuk memanfaatkan pertumbuhan ekonomi digital," katanya.

Inisiatif berkenaan turut menyokong agenda transformasi digital RHB menerusi strategi korporat PROGRESS27 yang memberi tumpuan kepada penyediaan pengalaman pembayaran digital yang lebih lancar kepada pelanggan dan peniaga.

Selain itu, langkah berkenaan mengukuhkan lagi peranan RHB dalam memperkasa inovasi pembayaran negara menerusi DuitNow QR, piawaian kod QR kebangsaan yang dikendalikan oleh PayNet.

Video Terkini

Berita Berkaitan