CYBERJAYA: Equinix mengekalkan penggunaan 100 peratus tenaga boleh baharu bagi operasi pusat datanya di Malaysia, selain bekerjasama rapat dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi menyelaraskan keperluan bekalan elektrik dengan pelan pembangunan grid negara.
Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn, berkata perancangan keperluan tenaga bagi tempoh lima tahun dibuat bersama TNB bagi memastikan unjuran bekalan elektrik di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Johor sejajar dengan kesiapsiagaan infrastruktur serta permintaan sebenar pelanggan.
Beliau berkata, Equinix turut menilai beberapa penyedia tenaga boleh baharu tempatan bagi memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat memperluaskan penggunaan tenaga bersih.
"Bagi meningkatkan kecekapan tenaga, Equinix melabur AS$36 juta sepanjang tahun lalu dan kini mempunyai 29 perjanjian pembelian tenaga yang merangkumi kapasiti lebih 1,400 megawatt (MW) di 12 negara," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, lebih 80 peratus penempatan pelanggan Equinix kini berkaitan kecerdasan buatan (AI), mencerminkan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital yang menyokong teknologi berkenaan.
Katanya, perkembangan itu turut mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab AI serantau berikutan kapasiti pusat data berskala besar, infrastruktur yang bersedia menyokong AI serta kedudukannya yang strategik berhampiran Singapura.
"Kependaman antara Johor dan Singapura adalah kurang daripada satu milisaat, jauh lebih rendah berbanding sekitar lima hingga lapan milisaat antara Cyberjaya dan Singapura. Ini menjadikan Johor lokasi strategik bagi aplikasi AI serta pengkomputeran berprestasi tinggi," katanya.
Mengulas pembangunan pusat data, Tat Inn berkata, industri berkenaan kini tidak lagi hanya menumpukan kepada penambahan kapasiti, sebaliknya memberi perhatian kepada aspek kecekapan tenaga, pengurusan air, impak alam sekitar serta pembangunan secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, tiada pusat data Equinix di Malaysia menggunakan sistem penyejukan sejatan yang memerlukan penggunaan air secara intensif.
"Sebaliknya, syarikat menggunakan reka bentuk yang disesuaikan dengan iklim tempatan bersama teknologi penyejukan cekap, termasuk sistem penyejukan gelung tertutup, bagi mengurangkan penggunaan air," katanya.
Menurutnya, reka bentuk itu membolehkan pusat data mengekalkan prestasi pengkomputeran berkapasiti tinggi secara konsisten, termasuk dalam persekitaran iklim panas seperti Malaysia.
Beliau berkata, pemilihan lokasi pusat data turut mengambil kira faktor bekalan elektrik, sumber air, rangkaian telekomunikasi serta kesan terhadap alam sekitar sebelum sesuatu pembangunan dilaksanakan.
Katanya, semua pusat data baharu kini perlu memenuhi keperluan kemampanan yang semakin ketat, termasuk sasaran keberkesanan penggunaan tenaga (PUE), keberkesanan penggunaan air (WUE) serta pelan penggunaan tenaga boleh baharu.
Tahun lalu, Equinix merekodkan liputan tenaga boleh baharu sebanyak 96 peratus di seluruh pusat data runcit International Business Exchange (IBX) global, selain mencatat purata PUE sebanyak 1.37 dan WUE sebanyak 0.91.
























