BH Online
Ringkasan Berita

Kilang baharu Enest di Kajang ganda kapasiti pengeluaran sarang burung

KUALA LUMPUR: Enest Group Bhd, pemproses dan pedagang sarang burung walit bakal menggandakan kapasiti pengeluaran sarang burung menerusi pembinaan kilang baharu di Kajang, sekali gus memperkukuh keupayaan operasi syarikat bagi menyokong pertumbuhan eksport.
Kilang baharu Enest di Kajang ganda kapasiti pengeluaran sarang burung

Teh Jie (tiga dari kanan) pada majlis penyenaraian Enest Group di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini - NSTP/ASWADI ALIAS

KUALA LUMPUR: Enest Group Bhd, pemproses dan pedagang sarang burung walit bakal menggandakan kapasiti pengeluaran sarang burung menerusi pembinaan kilang baharu di Kajang, sekali gus memperkukuh keupayaan operasi syarikat bagi menyokong pertumbuhan eksport.

Ketua Pegawai Operasi Enest, Lok Chyi Yeu, berkata kemudahan baharu itu mempunyai kapasiti pengeluaran sekitar 18 tan, manakala kapasiti keseluruhan kumpulan dijangka meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda berbanding kapasiti sedia ada.

"Kilang baharu ini dijangka siap pada suku ketiga 2027 dan ia mempunyai saiz yang lebih besar dan kami menjangkakan ia dapat menggandakan kapasiti sedia ada.

"Selepas digabungkan dengan kilang semasa, syarikat akan mempunyai kapasiti lebih besar untuk eksport," katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian Enest Group di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini.

Beliau berkata, operasi kilang baharu itu bagaimanapun memerlukan tempoh bagi kerja pengubahsuaian serta proses mendapatkan permit dan lesen berkaitan selepas pemerolehan premis selesai sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun.

Enest Group memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pengembangan perniagaannya di dalam dan luar negara.

Saham syarikat di pasaran saham tempatan dibuka mendatar pada harga 13 sen sesaham, menyamai dengan harga tawaran awam permulaan (IPO).

Syarikat yang berpindah dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia itu menyasarkan untuk mengumpul RM15.11 juta menerusi IPO.

Daripada hasil IPO itu, sebanyak RM5 juta akan digunakan bagi pembayaran balik pinjaman bank, RM6.41 juta sebagai modal kerja dan RM3.7 juta untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

Sementara itu, Pengarah Urusan Enest Group, Tan Teh Jie, berkata syarikat berpuas hati dengan harga pembukaan saham berkenaan dan menghargai sokongan daripada pelabur yang mencerminkan keyakinan pasaran terhadap asas perniagaan serta strategi pertumbuhan syarikat.

"Keutamaan kami sekarang adalah melaksanakan pelan perniagaan dan terus memberi nilai mampan serta pulangan jangka panjang kepada pemegang saham," katanya.

Mengulas pasaran eksport syarikat, beliau berkata China kekal sebagai pasaran terbesar Enest ketika ini, selain syarikat turut mengeksport produk sarang burung ke Australia, Hong Kong, Jepun, Vietnam dan Singapura.

"Enest turut mula menembusi pasaran New Zealand pada tahun ini, manakala Kanada sedang dipertimbangkan sebagai pasaran eksport baharu selepas menerima pertanyaan daripada pihak di negara berkenaan.

"Namun, China masih menjadi pasaran utama kerana faktor budaya dan permintaan yang kukuh terhadap produk sarang burung," katanya.

Teh Jie berkata, syarikat tidak menjangkakan isu bekalan bahan mentah walaupun kapasiti pengeluaran akan meningkat kerana Malaysia mempunyai banyak rumah burung yang berdaftar.

Katanya, mereka tidak melihat sebarang kekangan bekalan di mana bekalan adalah stabil dan harga pula bergantung kepada permintaan pasaran global.

Beliau turut menjangkakan permintaan terhadap sarang burung terus berkembang berikutan peningkatan kuasa beli pengguna global serta kesedaran yang semakin meningkat terhadap produk berkenaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan