KUALA LUMPUR: Syarikat pengangkutan kargo udara, Sin-Kung Logistics Bhd (Sin-Kung Logistics) menjalin kerjasama strategik dengan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong (AAHK) bagi meneroka peluang baharu dalam pembangunan industri kargo udara serantau, sekali gus memperkukuh rangkaian logistik rentas sempadan yang semakin berkembang.
Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang menyediakan rangka kerja kepada kedua pihak untuk memanfaatkan kepakaran masing-masing dalam mengenal pasti peluang pembangunan kargo, meningkatkan kecekapan operasi menerusi pendigitalan serta memperkukuh kesalinghubungan rangkaian kargo udara di Asia.
Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sin-Kung Logistics, Alan Ong berkata, kedua-dua pihak akan meneliti potensi pembangunan penyelesaian logistik multimodal, memperkukuh rangkaian kargo serta meningkatkan kecekapan operasi dengan memanfaatkan kepakaran dan keupayaan masing-masing.
Beliau berkata, kedua-dua pihak juga akan mengenal pasti inisiatif yang menyokong integrasi rantaian bekalan serantau bagi memenuhi keperluan perdagangan antarabangsa yang terus berkembang.
Menurutnya, ia menjadi satu lagi langkah strategik syarikat dalam memperkukuh kehadiran serantaunya serta mengembangkan keupayaan dalam sektor pengangkutan kargo udara.
Katanya, MoU itu menyediakan platform kepada syarikat untuk bekerjasama rapat dengan AAHK dalam meneroka peluang yang mampu menyokong pembangunan industri kargo udara serantau serta memperkukuh hubungan antara hab-hab kargo utama.
"Seiring pertumbuhan perdagangan rentas sempadan dan rantaian bekalan yang semakin saling berkait, kami yakin kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan nilai kepada pelanggan serta menyokong pertumbuhan perdagangan serantau," katanya dalam satu kenyataan.
AAHK ialah badan berkanun yang bertanggungjawab mengendalikan dan membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong (HKIA), yang kini diiktiraf sebagai hab kargo udara terbesar dan paling sibuk di dunia.
Mengulas lanjut, Ong berkata, HKIA memiliki rangkaian global yang luas serta infrastruktur kargo bertaraf dunia yang melengkapkan kepakaran Sin-Kung Logistics dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo udara.
Beliau berkata, gabungan kekuatan kedua pihak dijangka mampu meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan, memperluaskan rangkaian serantau serta menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat.
Katanya, kerjasama itu turut sejajar dengan komitmen Sin-Kung Logistics untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pakar pengangkutan kargo udara yang dipercayai di rantau ini.
"Pada masa sama, kumpulan akan memanfaatkan pertumbuhan perdagangan serantau serta peningkatan permintaan terhadap penyelesaian logistik bersepadu di Asia," katanya.
























