KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd berjaya melaksanakan peranan sebagai Jurutera Pemeriksa Bebas (ICE) bagi pembangunan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, sekali gus menyokong mobiliti, logistik dan pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Shaiful Subhan, berkata pengalaman syarikat menguruskan projek infrastruktur mega bernilai lebih RM100 bilion di dalam dan luar negara membolehkan setiap fasa pembangunan lebuh raya berkenaan dilaksanakan mengikut piawaian tinggi dari segi kualiti, keselamatan, pematuhan kawal selia dan kemampanan.
"Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang kira-kira 786 kilometer (km) yang menghubungkan Telok Melano hingga Merapok merangkumi pembinaan 115 jambatan dan 25 persimpangan bertingkat, sekali gus menjadikannya antara projek kejuruteraan awam terbesar di Asia Tenggara.
"Lebuhraya Pan Borneo dijangka mempertingkat mobiliti, memperkukuh kecekapan logistik serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi jangka panjang menerusi hubungan lebih baik antara bandar, kawasan luar bandar dan koridor ekonomi utama di Sarawak," katanya.
Beliau berkata, antara cabaran utama pelaksanaan projek itu ialah keadaan geografi Sarawak yang merangkumi kawasan tanah lembut, rangkaian sungai luas serta lokasi pembinaan yang jauh dari pusat bandar.
Bagi mengatasi cabaran berkenaan, Shaiful berkata, UEM Edgenta memanfaatkan pengalaman daripada pelaksanaan projek mega termasuk Lebuhraya PLUS, Jambatan Pulau Pinang serta beberapa projek infrastruktur antarabangsa bagi membangunkan penyelesaian kejuruteraan yang meningkatkan ketahanan struktur.
Beliau berkata, pendekatan itu turut membantu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar serta meminimumkan kos penyelenggaraan dalam tempoh jangka panjang.
Pada masa sama, syarikat turut menyelia pengurusan jutaan jam bekerja selamat, penurapan asfalt berskala besar serta penyelarasan ribuan tenaga kerja di tapak pembinaan dengan pematuhan ketat terhadap piawaian keselamatan dan operasi.
Shaiful berkata, kejayaan menyiapkan projek itu memerlukan kepakaran teknikal, tadbir urus berdisiplin serta kerjasama erat semua pihak bagi memastikan infrastruktur dibangunkan memenuhi standard keselamatan, kualiti dan kemampanan.
Selain penyampaian projek, beliau berkata, UEM Edgenta turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan apabila lebih 70 peratus tenaga kerja yang menyokong projek di Sarawak terdiri daripada bakat tempatan.
Katanya, syarikat juga bekerjasama dengan Swinburne University of Technology Sarawak Campus bagi memperkukuh pembangunan bakat menerusi program latihan industri, pembangunan siswazah dan pemindahan pengetahuan teknikal.
Sementara itu, Pengarah Urusan Penyelesaian Infrastruktur UEM Edgenta, Raihana Ahmad, berkata Lebuhraya Pan Borneo bukan sekadar rangkaian jalan raya, malah menjadi pemangkin kepada integrasi wilayah, pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup rakyat di Sarawak.
Beliau berkata, UEM Edgenta akan terus menyokong aspirasi pembangunan infrastruktur Kerajaan Sarawak termasuk pelaksanaan projek Rangkaian Jalan Pesisir Pantai, Jalan Raya Utama Kedua dan Jambatan Batang Lupar 1 yang bakal menjadi jambatan merentasi sungai terpanjang di Malaysia.
























