WOLFSBURG: Tenaga kerja Volkswagen hilang kepercayaan besar terhadap kepimpinan pengeluar automotif Jerman itu selepas pihak pengurusan tertinggi gagal berkongsi butiran mengenai rancangan pengurangan kos yang menjadi spekulasi, menurut wakil pekerja hari ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pengeluar kereta terbesar di Eropah itu kini bergolak susulan laporan mengenai cadangan pengurangan kira-kira 100,000 pekerjaan di Jerman, dengan kesatuan sekerja IG Metall mengadakan bantahan di seluruh negara pada Khamis.
Mesyuarat lembaga penyelia yang diadakan pada hari sama berakhir tanpa sebarang pengesahan mengenai pelan yang dicadangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Oliver Blume.
Berang kerana tidak dimaklumkan mengenai rancangan tersebut, majlis pekerja Volkswagen menuntut supaya maklumat penuh mengenai apa yang disifatkan Blume sebagai 'penyusunan semula paling menyeluruh dalam sejarah Volkswagen' didedahkan selewat-lewatnya pada Jumaat.
"Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan beliau yang terus menyembunyikan maklumat ini daripada puluhan ribu pekerja yang terjejas di luar kumpulan pengurusan," kata majlis pekerja itu dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis pekerja turut menuntut supaya Blume memberi penjelasan secara langsung kepada tenaga kerja syarikat sebelum Jumaat.
"Tumpuan utama pekerja kini adalah sama ada Lembaga Eksekutif berhasrat menangani krisis ini dengan melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan bersama pekerja, atau bertindak tanpa mereka," menurut kenyataan itu lagi.
Butiran mengenai pakej pengurangan kos itu, yang dilaporkan telah ditolak oleh lembaga penyelia, setakat ini hanya diketahui melalui laporan media.
Menurut Manager Magazin, sehingga 100,000 pekerjaan di seluruh dunia mungkin akan dikurangkan, iaitu dua kali ganda berbanding rancangan asal.
Sementara itu, akhbar Bild melaporkan jumlah tersebut mungkin mencecah 120,000 pekerjaan.
Empat kilang milik Kumpulan Volkswagen di Jerman juga dilaporkan berdepan risiko ditutup, iaitu di Hanover, Emden, Zwickau dan Neckarsulm.
-BERNAMA-dpa
























