KUALA LUMPUR: Pekat Group Bhd memperoleh dua kontrak bernilai RM46.94 juta bagi pembekalan dan pemasangan sistem pembumian serta perlindungan kilat untuk projek pusat data di Negeri Sembilan dan Johor.
Kontrak pertama bernilai RM19.73 juta membabitkan kerja di sebuah pusat data berskala hiper di Port Dickson, Negeri Sembilan, yang dijadualkan siap pada 30 Jun 2027.
Sementara itu, kontrak kedua bernilai RM27.21 juta adalah bagi kerja sama di sebuah pusat data di Johor, dengan tempoh siap ditetapkan pada 19 September 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Pekat Group, Tai Yee Chee, berkata perolehan kontrak itu mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap kepakaran teknikal serta pengalaman syarikat dalam menyediakan infrastruktur perlindungan kuasa.
Beliau berkata, sistem pembumian dan perlindungan kilat memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan operasi pusat data, khususnya membabitkan peralatan bernilai tinggi serta keperluan operasi berterusan.
"Kontrak ini mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap keupayaan kami, selain mengukuhkan buku pesanan Pekat dalam segmen pusat data," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan semasa, tertakluk kepada kemajuan kerja serta risiko pelaksanaan projek.
Menurut kumpulan itu, pertumbuhan pesat infrastruktur digital dan kemudahan pengkomputeran awan terus meningkatkan permintaan terhadap penyelesaian elektrik khusus bagi menyokong pembangunan pusat data.
Pekat kini memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan pusat data menerusi kepakaran dalam perlindungan kuasa dan penjanaan kuasa, sejajar dengan perkembangan industri berkenaan di rantau ini.
























