BH Online
Ringkasan Berita

Volkswagen rancang buang 100,000 pekerja, tutup empat kilang di Jerman

BERLIN: Volkswagen sedang mempertimbangkan untuk menutup empat kilangnya di Jerman dan meningkatkan jumlah pemberhentian pekerja sehingga mencecah 100,000 orang, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu hari ini, yang boleh menjadi rombakan terbesar dalam sejarah pengeluar kenderaan berkenaan.
Volkswagen rancang buang 100,000 pekerja, tutup empat kilang di Jerman

Tenaga kerja global kumpulan Volkswagen berjumlah 667,164 orang - Foto AFP

BERLIN: Volkswagen sedang mempertimbangkan untuk menutup empat kilangnya di Jerman dan meningkatkan jumlah pemberhentian pekerja sehingga mencecah 100,000 orang, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu hari ini, yang boleh menjadi rombakan terbesar dalam sejarah pengeluar kenderaan berkenaan.

Anggota lembaga penyelia Volkswagen telah dimaklumkan mengenai rancangan itu, yang dijadual dibincangkan dalam mesyuarat pada 9 Julai, ketika syarikat berdepan tekanan yang semakin meningkat daripada pesaing dari China.

Penutupan kilang di Hanover, Zwickau, Emden dan kilang Neckarsulm milik Audi berpotensi menjejaskan lebih 45,000 pekerjaan, menurut sumber berkenaan.

Langkah itu akan menambah kepada pengurangan 50,000 pekerjaan yang telah dipersetujui bersama kesatuan pekerja pada penghujung 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen, Oliver Blume, yang memegang jawatan itu hampir empat tahun lalu, membentangkan rancangan berkenaan kepada pengurusan kanan awal minggu ini dalam usaha mendapatkan sokongan pengurusan terhadap langkah pengurangan besar-besaran yang dijangka menerima tentangan hebat daripada kesatuan pekerja serta kerajaan negeri Lower Saxony, pemegang saham kedua terbesar syarikat itu.

Rombakan itu mula dilaporkan oleh Manager Magazin.

Pengeluar kereta kedua terbesar dunia itu juga dijangka mengurangkan pelaburan yang dirancang kira-kira 15 peratus kepada sedikit melebihi €130 bilion (AS$148 bilion) bagi tempoh lima tahun akan datang, menurut majalah tersebut.

Blume bersama Ketua Pegawai Kewangan, Arno Antlitz, turut merancang untuk menyusun semula secara menyeluruh syarikat yang berusia 89 tahun itu, termasuk mengasingkan jenama teras VW serta operasi alat ganti kepada entiti berasingan, menurut sumber yang dipetik majalah berkenaan.

Jurucakap Volkswagen enggan mengulas mengenai 'dokumen sulit'.

"Keseluruhan kumpulan, termasuk jenama dan anak syarikatnya, perlu melalui perubahan yang menyeluruh," katanya.

Majlis pekerja Volkswagen dan kesatuan pekerja berpengaruh Jerman, IG Metall, berikrar akan menentang sebarang langkah sedemikian.

Dalam kenyataan bersama hari init, mereka berkata: "Sekiranya rancangan itu diteruskan, kami akan melakukan segala yang termampu untuk menghalangnya."

Porsche SE, syarikat pelaburan milik keluarga Porsche dan Piech yang juga pemegang saham terbesar Volkswagen, enggan mengulas.

Bagi tahun kewangan 2025, tenaga kerja global kumpulan Volkswagen berjumlah 667,164 orang, dengan hampir 43 peratus daripadanya bekerja di Jerman.

Saham Volkswagen didagangkan pada paras terendah dalam tempoh 16 tahun pada pagi Jumaat, susut 0.4 peratus setakat 10.24 pagi GMT, sekali gus mencerminkan keraguan pelabur terhadap kejayaan pelaksanaan rancangan tersebut.

Blume kini berdepan tekanan untuk memulihkan prestasi Volkswagen ketika syarikat bergelut dengan tarif perdagangan, kos peralihan yang tinggi kepada kenderaan elektrik (EV) serta persaingan sengit daripada pengeluar automotif China, yang dilihat sebagai ancaman terbesar syarikat itu.

Pengeluar automotif utama semakin kehilangan bahagian pasaran kepada EV keluaran tempatan di China.

Menurut AlixPartners, bahagian pasaran pengeluar automotif bukan China merosot kepada 32 peratus pada 2025 berbanding 57 peratus pada 2020.

Selepas sekian lama menjadi pengeluar kereta nombor satu di China, Volkswagen dipintas oleh BYD pada 2024 sebelum jatuh ke tangga ketiga pada 2025.

Kemerosotan itu kini turut menjejaskan pengeluar kenderaan premium seperti BMW, yang minggu lalu mengeluarkan amaran keuntungan yang mengejutkan, sebahagiannya disebabkan jualan yang lemah di China.

Pada masa sama, pengeluar automotif China turut memperluaskan operasi ke pasaran sedang pesat membangun serta berkembang pantas di Eropah, iaitu pasaran utama Volkswagen.

Menurut data European Automobile Manufacturers' Association, gabungan bahagian pasaran Eropah bagi BYD, Chery, SAIC Motor dan Leapmotor meningkat dua kali ganda sehingga Mei berbanding tempoh sama tahun lalu.

Selain itu, puluhan lagi pengeluar automotif China telah memasuki atau merancang untuk memasuki pasaran Eropah dalam masa terdekat.

-Reuters

Video Terkini

Berita Berkaitan