KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd bercadang membangunkan MS Industrial Park @ Kulai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2.26 bilion.
Ia selepas pemegang saham meluluskan cadangan pengambilalihan kira-kira 169.6 hektar tanah pegangan bebas di Kulai pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat hari ini.
Kelulusan itu membolehkan syarikat mengembangkan lagi segmen pembangunan perindustrian, sekali gus mengukuhkan kehadirannya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dilihat semakin menarik minat pelabur sektor pembuatan, logistik, teknologi dan infrastruktur digital.
Projek berkenaan akan dibangunkan menerusi M Industrial Development Sdn Bhd, anak syarikat Mah Sing yang dimiliki sebanyak 60 peratus, manakala baki 40 peratus dipegang oleh KLK Land Sdn Bhd.
Menurut Mah Sing, pengambilalihan tanah bernilai RM273.87 juta itu dibuat berdasarkan persetujuan antara penjual dan pembeli, selain disokong penilaian bebas sebanyak RM274 juta oleh Knight Frank Malaysia Sdn Bhd.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata kelulusan pemegang saham mencerminkan keyakinan terhadap potensi projek itu untuk memperkukuh portfolio perindustrian syarikat serta mewujudkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.
Beliau berkata, Johor kini muncul sebagai antara destinasi pelaburan paling menarik di Asia Tenggara, disokong oleh pembangunan JS-SEZ, hubungan rentas sempadan yang semakin baik serta peningkatan pelaburan dalam industri bernilai tinggi.
"Berbekalkan rekod prestasi kami di Johor serta kerjasama strategik dengan KLK Land, kami yakin MS Industrial Park @ Kulai mampu menarik pelaburan berkualiti dan menyumbang secara positif kepada pertumbuhan serta pendapatan Mah Sing pada masa depan," katanya dalam satu kenyataan.
Taman perindustrian itu dirancang merangkumi kilang berkelompok, separa berkembar dan berkembar, selain lot tanah perindustrian kosong seluas kira-kira 0.4 hingga 3.2 hektar bagi memenuhi keperluan pembangunan kemudahan industri, hab logistik dan pusat data yang disesuaikan mengikut permintaan pasaran.
Pembangunan itu turut mendapat manfaat daripada lokasi strategiknya di Iskandar Malaysia yang mempunyai akses ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Senai-Desaru serta Laluan Kedua Malaysia-Singapura.
Syarikat menjangkakan pengambilalihan tanah berkenaan selesai pada suku keempat tahun ini, tertakluk kepada kelulusan berkaitan, sebelum kerja pembangunan dimulakan.
























