SUNGAI BULOH: AME Elite Consortium Bhd (AME Elite) dan KLK Land Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik menerusi pembangunan taman perindustrian i-Park@Coalfields dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.3 bilion, sekali gus memperkukuh bekalan ruang industri moden di koridor perindustrian baharu utara Lembah Klang.
Projek di atas tanah seluas 151.2 ekar itu dibangunkan oleh Central Gateway Development Sdn Bhd, syarikat usaha sama yang dimiliki 60 peratus oleh AME Elite dan 40 peratus oleh KLK Land, menggabungkan kepakaran kedua-dua syarikat dalam pembangunan taman perindustrian dan bandar terancang.
Terletak menghadap Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), i-Park@Coalfields mempunyai akses terus ke Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Barat, selain berada dalam lingkungan 30 kilometer dari Pelabuhan Klang serta Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Pengarah Central Gateway Development, Dylan Tan Teck Eng, berkata Fasa 1 pembangunan merangkumi 34 unit kilang berkembar satu setengah tingkat dengan anggaran GDV sebanyak RM221 juta.
Beliau berkata, unit bagi kategori industri ringan dan sederhana itu ditawarkan pada harga bermula sekitar RM6.5 juta seunit dengan purata harga RM650 sekaki persegi.
"Pembinaan Fasa 1 dijadualkan bermula pada awal tahun depan dan disasarkan siap menjelang penghujung 2029 atau awal 2030, manakala keseluruhan pembangunan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2033.
"i-Park@Coalfields menyasarkan syarikat dalam sektor pembuatan termaju, semikonduktor dan elektronik, automotif, perubatan dan farmaseutikal, teknologi serta logistik," katanya pada taklimat media prapelancaran taman perindustrian itu di sini, hari ini.
Teck Eng berkata, pelanggan boleh memilih unit bina mengikut keperluan pegangan bebas atau unit siap dibina untuk operasi segera sama ada melalui pembelian atau pajakan.
"Ekosistem 'plug-and-play' yang disediakan membantu mengurangkan kos penyediaan serta memendekkan tempoh pembangunan bagi syarikat multinasional dan perusahaan tempatan," katanya.
i-Park@Coalfields yang memperoleh pensijilan GreenRE menawarkan ruang industri fleksibel dengan infrastruktur moden, sambungan digital sedia masa hadapan serta reka bentuk mampan.
Pembangunan itu turut dilengkapi hab komersial dan gaya hidup, kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), sistem keselamatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta perkhidmatan pengurusan lengkap bagi menyokong operasi industri sepanjang masa.
Pelan induknya merangkumi kilang berkembar untuk industri ringan dan sederhana, lot kilang sesebuah serta tapak 'build-to-suit' (BTS) pegangan bebas bermula daripada keluasan satu ekar bagi memenuhi keperluan syarikat tempatan dan multinasional yang ingin mengembangkan rantaian bekalan global.
Teck Eng berkata, pendaftaran bagi Fasa 1 kini dibuka secara rasmi, membabitkan unit kilang berkembar satu setengah tingkat yang siap dibina.
























