BH Online
Ringkasan Berita

SP Setia lancar Aurora II bernilai RM63.14 juta di Klang Selatan

KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd melancarkan projek perumahan Aurora II dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM63.14 juta di kawasan pegangan bebas Setia Bayuemas South, Klang pada 18 Julai lalu.
SP Setia lancar Aurora II bernilai RM63.14 juta di Klang Selatan

Projek perumahan Aurora II.

KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd melancarkan projek perumahan Aurora II dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM63.14 juta di kawasan pegangan bebas Setia Bayuemas South, Klang pada 18 Julai lalu.

Pelancaran projek berkenaan menyusuli kejayaan Aurora I yang diperkenalkan pada Februari lalu dan merekodkan sambutan memberangsangkan dalam tempoh singkat selepas dilancarkan.

Ketua Pegawai Operasi SP Setia, Datuk Yuslina Mohd Yunus, berkata sambutan kukuh terhadap Aurora I mencerminkan keyakinan berterusan pembeli rumah terhadap SP Setia serta daya tarikan Setia Bayuemas sebagai destinasi perbandaran pilihan di Klang Selatan.

"Aurora II adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk menyediakan kediaman berkualiti dalam sebuah perbandaran matang yang lengkap dengan kemudahan, mempunyai jaringan hubungan yang baik dan potensi pertumbuhan masa depan.

"Sebagai sebahagian daripada pembangunan Setia Bayuemas seluas 545 ekar, Aurora II memberi peluang kepada pembeli untuk menjadi sebahagian daripada komuniti yang sudah mapan dan disokong oleh kemudahan menyeluruh serta potensi pertumbuhan jangka panjang.

"Pembukaan Laluan LRT Shah Alam (LRT 3) baru-baru ini dan Stesen Johan Setia daripada LRT 3 yang terletak kurang tiga kilometer dari projek ini turut meningkatkan aksesibiliti serta memperkukuh daya tarikan perbandaran ini," katanya dalam kenyataan.

Aurora II membabitkan 69 unit rumah teres dua tingkat berkeluasan 22 kaki x 75 kaki, dengan setiap unit dilengkapi empat bilik tidur dan empat bilik air serta ditawarkan pada harga bermula RM840,000.

Rumah lot pertengahan mempunyai keluasan binaan 1,904 kaki persegi, manakala unit penjuru dan hujung menawarkan keluasan binaan 1,967 kaki persegi.

Dibangunkan berasaskan konsep seni bina zen moden, Aurora II menampilkan fasad minimalis, dinding pintu masuk bertekstur batu, kemasan kayu serta elemen bumbung tropika.

Kediaman berkenaan turut dilengkapi ciri rumah pintar dan elemen Setia eGreenLiving seperti kunci pintar, suis hijau, Box 366, penyediaan port pengecas kenderaan elektrik (EV) serta kesiapsiagaan konduit solar PV.

Setia Bayuemas South disasarkan kepada golongan profesional muda berpendapatan dua sumber yang mencari komuniti berorientasikan gaya hidup dengan akses yang baik.

Penduduk bakal menikmati kemudahan ruang hijau termasuk Taman Linear sepanjang satu kilometer, Aurora Central Park, Aurora Neighbourhood Park dan Setia Bayuemas Lake Park Two yang akan dibangunkan.

Kawasan berkenaan turut berhampiran pelbagai kemudahan pendidikan, kesihatan dan peruncitan termasuk SK Kampung Pendamar, SJK(C) Wu Teck, Orbix International School, Collinz International School, Canary International School, Bukit Tinggi Medical Centre, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, AEON Mall Bukit Tinggi, KSL Esplanade Mall dan GM Klang Wholesale City.

Dari segi hubungan, Setia Bayuemas South mempunyai akses ke seluruh Lembah Klang melalui Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA).

Aurora II mencerminkan kepakaran SP Setia dalam perancangan induk, pembangunan berorientasikan reka bentuk serta penyediaan kediaman masa depan, disokong pengalaman lebih 50 tahun membangunkan komuniti lestari dan bernilai jangka panjang.

Video Terkini

Berita Berkaitan