KUALA LUMPUR: Bandar Elmina dijangka terus menjadi perangsang utama kepada jualan dan pendapatan Sime Darby Property Bhd menuju ke hadapan.
Penyiapan struktur teras dan luaran bagi pusat data (DC) pertama, DC kedua dalam pembinaan dan majlis pecah tanah bagi gudang automatik milik Mydin Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) menjadi pencapaian utama yang berjaya diraih oleh kota perbandaran itu.
Pelancaran terbaharu Elmina North adalah penyambungan pertumbuhan baharu di seksyen Guthrie Corridor.
Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata seluruh kawasan perbandaran itu sekarang menyumbang jualan sekitar RM1 bilion setahun, iaitu 25 peratus daripada sasaran jualan 2026 Sime Darby Propery sebanyak RM4 bilion.
Beliau berkata, petak tanah yang masih berbaki pula diperuntukkan untuk peluang pembinaan hartanah yang mengikut kehendak pelanggan untuk tujuan pemajakan, selaras dengan strategi SHIFT 32 kumpulan ini yang sepatutnya menyaksikan portfolio aset bawah pengurusannya (AUM) mencecah paras RM10 bilion menjelang 2028.
"Kami difahamkan bahawa harga untuk tanah perindustrian ini sudah memuncak daripada RM80 kaki persegi hingga 90 kaki persegi pada 2019 kepada lebih RM150 kaki persegi apabila harga jualan semasa untuk plot tanah seluas 0.8 hektar hingga 1.2 hektar dalam pasaran kedua meningkat setinggi RM250 kaki persegi.
"Keadaan yang sama turut berlaku pada harga rumah (untuk rumah bersambung) apabila ia meningkat daripada RM500,000 hingga RM600,000 kepada RM1.1 juta hingga RM1.2 juta semasa tempoh yang sama," katanya dalam nota penyelidikannya.
Kok Wen berkata, memandangkan Elmina Business Park (EBP) hampir siap dibangunkan sepenuhnya kecuali untuk beberapa petak tanah tertentu yang dikhaskan untuk pembinaan bangunan bagi tujuan pemajakan, Sime Darby Property melancarkan projek Elmina North pada awal tahun ini.
Beliau berkata, 19 unit lot tanah perindustrian dilancarkan di EBP2, iaitu presint perindustrian di Elmina North, pada suku pertama 2026.
Katanya, tanah perindustrian itu dijual pada harga sekitar RM135 kaki persegi dan kadar ambilan terkini sudahpun mencecah 70 peratus.
Menurutnya, dana pembangunan hartanah, New Economy Venture Fund (NEVF) yang diumumkan Sime Darby Property pada bulan lalu sudah memperoleh sukuk hijau bernilai RM2.6 bilion, justeru meningkatkan saiz jumlah dana itu kepada paras RM3.85 bilion.
"Memandangkan dua aset yang dikenal pasti (DC2 dan gudang berautomatik MYDIN) akan menggunakan kira-kira 85 peratus daripada jumlah dana berkenaan, Sime Darby Property masih mempunyai keupayaan untuk mengambil lebih banyak projek perindustrian," katanya.
Mengulas lanjut, penganalisis itu berkata, untuk tempoh yang lebih panjang, apabila semakin banyak dana dapat dikumpulkan seperti dana pembangunan untuk menjalankan pembangunan peringkat awal, pihak pengurusan akan dapat menggunakan bahagian pengurusan pembangunan dan asetnya untuk menjana pendapatan menerusi peranannya sebagai penyedia perkhidmatan untuk dana berkenaan.
Justeru, beliau berkata, ia sekali gus dapat melonjakkan pendapatan berasaskan bayarannya.
Bandar Elmina seluas 3,237 hektar milik Sime Darby Property membentuk hampir empat perlima daripada simpanan tanah kumpulan yang seluas 4,128 hektar.
Ia terletak secara strategik di sepanjang Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM42 bilion.
Sebagai sebahagian daripada pelan induk Bandar Wawasan Selangor yang lebih besar, kejayaan Bandar Elmina mencerminkan evolusi Sime Darby Property daripada pemain perbandaran kepada penyepadu koridor pembangunan.
Sime Darby Property dengan pengalaman lebih 50 tahun telah berkembang daripada pemaju komuniti terancang induk yang dipercayai kepada syarikat hartanah yang berpandangan jauh, membentuk ekosistem lestari yang menyokong cara orang tinggal, bekerja dan berkembang maju.
























