KUALA LUMPUR: OSK Property terus memperkukuhkan pembangunan bersepadu OSK Mori Park di Seksyen 13, Shah Alam apabila projek ALIA mencapai penyiapan struktur bumbung selain merekodkan kadar jualan 98 peratus, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pembeli terhadap pembangunan itu.
Pencapaian berkenaan turut menjadi penanda aras penting kepada pembangunan fasa pertama projek induk itu yang dilancarkan pada Jun 2024, selain menunjukkan kemajuan pembinaan berjalan mengikut perancangan dan dijangka siap sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal daripada jadual asal.
Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Chu Wai Lune, berkata pencapaian itu membuktikan komitmen syarikat dalam menunaikan janji kepada pembeli, di samping meningkatkan keyakinan terhadap keupayaannya melaksanakan dan menyiapkan projek mengikut jadual.
"Prestasi jualan memberangsangkan bagi ALIA dan BAYU turut membuktikan pembeli mengiktiraf nilai pembangunan yang menggabungkan aspek kesalinghubungan, kemudahan, gaya hidup serta potensi pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam satu kenyataan.
Wai Lune berkata, kelebihan memiliki OSK Construction sebagai cabang pembinaan dalaman membolehkan syarikat mewujudkan penyelarasan lebih rapat dari aspek perancangan, pelaksanaan dan penyerahan projek, sekali gus mengukuhkan jaminan kualiti serta penyampaian kediaman mengikut piawaian yang ditetapkan.
OSK Construction turut merekodkan purata skor QLASSIC sebanyak 82 peratus bagi projek bangunan tinggi yang berjaya disiapkan sebelum ini, mencerminkan penekanan berterusan terhadap mutu pembinaan, standard mutu kerja dan penyampaian yang konsisten.
Susulan sambutan menggalakkan terhadap ALIA, fasa kedua pembangunan iaitu BAYU @ OSK Mori Park yang diperkenalkan pada Mei 2025 turut mencatat momentum positif apabila 75 peratus unitnya berjaya dijual dalam tempoh lebih setahun.
Prestasi itu menunjukkan keyakinan berterusan daripada pembeli rumah dan pelabur terhadap pembangunan berkenaan, kawasan sekitarnya serta konsep kediaman yang menekankan gaya hidup dalam persekitaran bandar yang saling berhubung.
Terletak di kawasan matang Seksyen 13, Shah Alam, OSK Mori Park dirancang sebagai pembangunan berorientasikan transit yang menggabungkan komponen kediaman, komersial dan gaya hidup dalam pelan induk mesra pejalan kaki.
Pembangunan itu juga berada kira-kira 700 meter dari Stesen LRT3 Stadium Shah Alam, sekali gus menawarkan akses mudah kepada pengangkutan awam selain disokong kemudahan sedia ada seperti institusi pendidikan, pusat perubatan, kemudahan runcit, kawasan rekreasi serta rangkaian lebuh raya utama.
OSK Property berkata, Shah Alam kini memasuki fasa pertumbuhan baharu didorong oleh pembukaan laluan LRT3 kepada orang ramai pada 29 Jun 2026, pembangunan semula kawasan Kompleks Sukan Shah Alam, penambahbaikan infrastruktur, inisiatif pembaharuan bandar serta perkembangan berterusan komponen komersial dan gaya hidup.
Seiring kemajuan ALIA dan penerimaan positif terhadap BAYU, syarikat itu turut memperkenalkan TAMU sebagai fasa ketiga pelan induk OSK Mori Park yang membawa konsep gaya hidup berinspirasikan Mediterranean.
TAMU menawarkan 43 kemudahan yang dirancang, pilihan kediaman dua hingga empat bilik tidur, susun atur dwi-kunci yang fleksibel serta Commercial Signature Suites bagi kegunaan gaya hidup dan perniagaan, dengan unit terpilih menyediakan akses parkir terus di hadapan pintu masuk.
Setiap fasa OSK Mori Park dibangunkan berdasarkan keperluan gaya hidup semasa dan perkembangan bandar pada masa depan, manakala pelancaran TAMU membuka peluang kepada pembeli untuk menjadi sebahagian daripada fasa pertumbuhan seterusnya di Shah Alam.
























