BH Online
Ringkasan Berita

Bukit Kerayong bakal ubah landskap pembangunan di barat Selangor

KUALA LUMPUR: Bukit Kerayong di Kuala Selangor dijangka muncul sebagai hab perindustrian generasi baharu yang mampu mengubah landskap pembangunan ekonomi di barat Selangor menerusi pembangunan taman perindustrian berskala besar yang disokong rangkaian logistik dan tenaga boleh diperbaharui.
Bukit Kerayong bakal ubah landskap pembangunan di barat Selangor

Sime Darby Property Bhd

KUALA LUMPUR: Bukit Kerayong di Kuala Selangor dijangka muncul sebagai hab perindustrian generasi baharu yang mampu mengubah landskap pembangunan ekonomi di barat Selangor menerusi pembangunan taman perindustrian berskala besar yang disokong rangkaian logistik dan tenaga boleh diperbaharui.

Perkembangan itu susulan langkah Sime Darby Property Bhd memulakan fasa pertama pelan induk pembangunan perindustrian seluas 3,000 ekar di kawasan berkenaan menerusi pengambilalihan kira-kira 1,022 ekar tanah pegangan bebas bernilai RM798.3 juta.

Penganalisis BIMB Securities, Mohd Fadzerin Arrifin, berkata projek itu disifatkan sebagai pemangkin baharu kepada pertumbuhan industri di Selangor, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sime Darby Property dalam segmen hartanah perindustrian yang semakin berkembang.

Beliau berkata, Sime Darby Property akan menyuntik sehingga RM100 juta ke dalam usaha sama (JV) 50:50 dengan SD Guthrie bagi membiayai pengambilalihan tanah berkenaan melalui gabungan suntikan ekuiti dan pendahuluan pemegang saham jangka pendek, mewakili bahagian pembiayaan awal syarikat.

Katanya, pembangunan itu dirancang sebagai taman perindustrian berat generasi baharu yang akan disokong kemudahan logistik serta infrastruktur tenaga boleh diperbaharui, berbeza daripada taman perindustrian konvensional yang lazimnya menumpukan kepada perusahaan ringan.

Menurutnya, projek itu berpotensi menarik peserta industri berskala besar kerana menawarkan tanah yang luas dan bersebelahan, selain dirancang secara menyeluruh untuk memenuhi keperluan sektor pembuatan moden serta logistik.

"Dengan lokasi strategik berhampiran Pelabuhan Klang, Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kawasan ini mampu memperkukuh kecekapan rantaian bekalan serta pergerakan kargo.

"Ia turut mendapat manfaat daripada kedudukannya berhampiran Bandar Bukit Raja dan pembangunan Pulau Carey yang bakal membentuk koridor perindustrian baharu merangkumi Klang, Kapar dan Kuala Selangor," katanya menerusi satu nota penyelidikan.

Mohd Fadzerin turut berpandangan bahawa harga pengambilalihan RM798.3 juta atau sekitar RM781,000 seekar, bersamaan RM17.90 sekaki persegi, adalah munasabah mengambil kira status pegangan bebas, keluasan tanah dan kedudukan strategiknya berhampiran Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, penyertaan Sime Darby Property menerusi usaha sama dengan SD Guthrie turut mengurangkan keperluan modal awal serta berkongsi risiko pelaksanaan dan pembiayaan projek.

Katanya, komitmen awal Sime Darby Property dihadkan kepada RM100 juta, jauh lebih rendah daripada nilai keseluruhan pengambilalihan tanah, di samping membolehkannya memanfaatkan bank tanah strategik milik SD Guthrie.

Bagaimanapun, BIMB Securities menjangkakan projek itu tidak memberi kesan material kepada pendapatan Sime Darby Property bagi tahun kewangan 2026 kerana masih berada pada peringkat pengambilalihan tanah dan penyediaan pelan induk.

Sumbangan keuntungan dijangka hanya mula direalisasikan dalam tempoh lebih panjang selepas pembangunan dilaksanakan secara berfasa dan mendapat kelulusan pihak berkuasa.

"Pada masa sama, beberapa butiran penting projek seperti nilai pembangunan kasar (GDV), jadual pembangunan, campuran produk, penyewa utama, sektor sasaran dan pulangan pelaburan masih belum diumumkan memandangkan projek masih di peringkat perancangan awal.

"Secara keseluruhannya projek Bukit Kerayong akan mengukuhkan saluran pembangunan perindustrian Sime Darby Property bersama Elmina Business Park, Bandar Bukit Raja dan Hamilton Nilai City, sekali gus memperluaskan pendedahan kumpulan kepada permintaan jangka panjang yang dipacu sektor logistik, pembuatan maju dan perindustrian berasaskan pelabuhan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan