KUALA LUMPUR: Pulau Pinang kini dilimpahi kediaman mampu milik apabila beberapa projek perumahan yang dilancarkan di negeri itu menerima sambutan menggalakkan, sekali gus mencerminkan permintaan yang terus kukuh terhadap rumah pada harga berpatutan di lokasi strategik.
Penganalisis CIMB Securities, Kenny Mak Hoy Ken, berkata pemeriksaan lapangan pihaknya di Pulau Pinang mendapati permintaan bagi perumahan mampu milik kekal teguh, manakala penggunaan teknologi pembinaan baharu semakin mendapat perhatian dalam usaha meningkatkan kecekapan kos dan mempercepatkan penyediaan rumah pada skala besar.
Beliau berkata, projek SkyAwani Pearlmont Residences Fasa 1A di Seberang Jaya yang dibangunkan di bawah inisiatif Rumah Bakat Madani mencatat kadar pengambilan melebihi 80 peratus ketika pelancaran awal, termasuk tempahan, dengan harga bermula RM323,000 seunit.
Katanya, projek itu menawarkan 1,846 unit kediaman merangkumi tiga menara dan turut memperkenalkan konsep sekolah menegak pertama di Malaysia bagi menangani kekangan kapasiti sekolah dalam komuniti bandar yang semakin padat.
"Pembangunan itu juga menetapkan yuran penyelenggaraan pada kadar 18 sen sekaki persegi selama 10 tahun selepas penyerahan milikan kosong, selain menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kolam renang infiniti serta gelanggang pickleball dan badminton," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Hoy Ken berkata, antara ciri utama projek berkenaan ialah cadangan taman bertingkat seluas 4.047 hektar yang dijangka menjadi terbesar seumpamanya di utara Semenanjung Malaysia, di samping kira-kira 108 unit komersial yang akan dibangunkan di aras podium bagi menyokong ekosistem perbandaran.
Mengulas lanjut, beliau berkata, projek Rumah Bakat Madani ditawarkan secara pegangan bebas dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang bukan penduduk Pulau Pinang tetapi bekerja di negeri itu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Mah Sing melalui projek M Amaya Fasa 1A di Batu Maung yang dilancarkan pada 9 Julai lalu turut mencatat kadar pengambilan 92 peratus bagi pelancaran pertama yang mewakili kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan 833 unit, dengan harga bermula RM480,000 seunit.
Beliau berkata, sambutan terhadap kedua-dua projek itu menunjukkan permintaan terhadap rumah mampu milik di lokasi strategik masih berada pada tahap memberangsangkan.
Hoy Ken berkata, SkyWorld turut bekerjasama dengan Teambuild Holdings (S) Pte Ltd dari Singapura bagi memanfaatkan teknologi prefabricated prefinished volumetric construction (PPVC), iaitu kaedah pembinaan modular tiga dimensi yang digunakan secara meluas dalam pembangunan perumahan awam dan swasta di negara itu.
Katanya, teknologi berkenaan membolehkan modul bilik lengkap dihasilkan dalam persekitaran kilang terkawal sebelum dipasang di tapak, sekali gus membantu meningkatkan konsistensi kualiti serta mengurangkan masalah kecacatan dan kebocoran.
Beliau berkata, bagi menyokong pelaksanaan teknologi itu, sebuah fasiliti baharu akan dibina di Batu Kawan di atas tapak seluas 30 ekar dan dijangka memulakan pengeluaran pada suku ketiga 2026 dengan kapasiti tahunan kira-kira 4,000 unit.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan lapangan CIMB Securities turut mendapati sektor hartanah industri di Pulau Pinang berkembang seiring peningkatan aktiviti pembuatan berteknologi tinggi dan perdagangan digital.
Menurutnya, PTT Semicon Logistics Hub 1 di Valdor Industrial Park yang mula beroperasi pada Julai 2026 dibina di bawah perjanjian bina dan pajak selama 10 tahun untuk sebuah pengeluar semikonduktor multinasional terkemuka, dengan jumlah sewaan kontrak RM399.7 juta sepanjang tempoh awal dan dijangka menjana pendapatan sewaan tahunan kira-kira RM37.2 juta.
Katanya, fasiliti berkeluasan 416,572 kaki persegi itu dilengkapi sistem storan dan pengambilan automatik (ASRS), robot mudah alih autonomi (AMR) serta sistem pengurusan gudang proprietari, sekali gus mencerminkan peningkatan penggunaan infrastruktur khusus yang menyokong keperluan pengeluar maju dan penyewa industri di negeri itu.
























