BH Online
Ringkasan Berita

Tiara Residences 1 di Bukit Jelutong berjaya pikat pembeli

KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap kediaman bertanah di bandar matang terus kekal kukuh apabila fasa pertama Tiara Residences 1 di Bukit Jelutong, Selangor merekodkan kadar pengambilan sebanyak 85 peratus sepanjang hujung minggu pelancarannya baru-baru ini.
Tiara Residences 1 di Bukit Jelutong berjaya pikat pembeli

Tiara Residences 1 mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM115 juta

KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap kediaman bertanah di bandar matang terus kekal kukuh apabila fasa pertama Tiara Residences 1 di Bukit Jelutong, Selangor merekodkan kadar pengambilan sebanyak 85 peratus sepanjang hujung minggu pelancarannya baru-baru ini.

Ini sekali gus mencerminkan minat berterusan pembeli terhadap kawasan perumahan yang lengkap dengan kemudahan dan rangkaian infrastruktur sedia ada.

Projek yang dibangunkan oleh Sime Darby Property itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM115 juta dan merupakan fasa pertama pembangunan kediaman berketumpatan rendah seluas 27.9 hektar di Bukit Jelutong.

Tiara Residences 1 merangkumi 59 unit rumah berkembar berangkai dua tingkat pegangan bebas dengan harga bermula RM1.749 juta seunit dengan dijangka siap pada Jun 2029.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property, Appollo Leong, berkata Bukit Jelutong kekal menjadi pilihan pemilik kediaman yang mahu menaik taraf rumah dalam persekitaran yang sudah dikenali, matang serta mempunyai hubungan jalan raya yang baik.

Beliau berkata, projek itu turut menarik minat pemilik rumah generasi kedua dan ketiga dalam perbandaran berkenaan sekali gus menyokong usaha mewujudkan nilai jangka panjang kepada komuniti setempat.

"Tiara Residences 1 direka dengan mengambil kira ciri semula jadi tapak pembangunan serta kelestarian jangka panjang. Kira-kira 33 peratus daripada kawasan pembangunan diperuntukkan sebagai ruang hijau, jauh melebihi keperluan minimum 10 peratus.

"Selain itu, orientasi rumah menghadap utara-selatan turut diterapkan bagi meningkatkan keselesaan penghuni," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pembangunan itu menerapkan elemen reka bentuk biofilik menerusi halaman dalaman, pencahayaan semula jadi melalui skylight serta ruang fleksibel terbuka di bahagian belakang rumah bagi mewujudkan hubungan lebih dekat antara kediaman dengan alam sekitar.

Fasa pertama pembangunan itu menawarkan dua jenis kediaman iaitu Type A berkeluasan lot 22 kaki x 80 kaki dan Type B seluas 22 kaki x 90 kaki.

tiara2
Tiara Residences 1 direka dengan mengambil kira ciri semula jadi tapak pembangunan dan kelestarian jangka panjang

Antara ciri yang ditawarkan termasuk susun atur terbuka, ruang parkir tanpa tiang penghalang dengan penyediaan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), dapur yang dihubungkan dengan teres fleksibel, selain bilik utiliti yang boleh dijadikan pejabat di rumah, bilik belajar, pantri atau bilik pembantu rumah.

Reka bentuk kediaman itu turut menyediakan bilik fleksibel di tingkat bawah lengkap dengan bilik air sendiri dan akses terus ke taman belakang, sekali gus menawarkan pilihan penggunaan yang pelbagai mengikut keperluan penghuni.

Sejajar usaha memperluaskan pembangunan rendah karbon, setiap unit turut dilengkapi panel solar terbina dalam bersama sistem penyimpanan tenaga bateri, manakala beberapa unit terpilih mempunyai halaman dalaman serta skylight bagi meningkatkan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi.

Selain kediaman, pembangunan itu turut menyediakan rangkaian taman tasik dan kawasan hijau seluas kira-kira 9.1 hektar yang diinspirasikan daripada seni bina Maghribi serta reka bentuk Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di Selangor.

Kemudahan landskap itu menggabungkan elemen air dan kehijauan bagi mewujudkan suasana persekitaran yang lebih tenang serta menyokong kesejahteraan penduduk.

Dari aspek aksesibiliti, Tiara Residences dihubungkan dengan beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Lembah Klang Baharu (NKVE) serta Lebuhraya Persekutuan.

Pembangunan itu juga terletak berhampiran pelbagai kemudahan sedia ada seperti institusi pendidikan, pusat komersial dan destinasi gaya hidup yang menjadi antara faktor tarikan kepada pembeli.

Fasa seterusnya iaitu Tiara Residences 2 dijadual diperkenalkan pada suku ketiga tahun ini.

Fasa berkenaan bakal menawarkan vila Superlink tiga tingkat berukuran 24 kaki x 80 kaki dengan keluasan binaan bermula 3,207 kaki persegi, dilengkapi lima bilik tidur serta satu bilik tambahan dan enam bilik air, pada harga bermula RM2.1 juta.

Pelancaran Tiara Residences 1 menambah lagi penawaran kediaman premium Sime Darby Property dalam perbandaran Bukit Jelutong yang sudah matang, ketika permintaan terhadap rumah bertanah di lokasi strategik dan lengkap kemudahan kekal menjadi antara segmen yang mendapat perhatian pembeli.

Video Terkini

Berita Berkaitan