BH Online
Ringkasan Berita

chargEV sasar 800 titik pengecasan EV di 14 negeri menjelang akhir tahun ini

KUALA LUMPUR: Yinson GreenTech menerusi perniagaan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV), chargEV menyasarkan untuk mengembangkan rangkaian pengecasannya kepada 800 titik pengecasan di 14 negeri dengan kerjasama lapan rakan perayauan menjelang akhir 2026, berbanding 645 titik pengecasan di 13 negeri serta enam rakan perayauan ketika ini.
chargEV sasar 800 titik pengecasan EV di 14 negeri menjelang akhir tahun ini

Soon (dua dari kiri) memperkenalkan aplikasi chargEV 2.0 dalam satu majlis di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/ROHANIS SHUKRI

KUALA LUMPUR: Yinson GreenTech menerusi perniagaan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV), chargEV menyasarkan untuk mengembangkan rangkaian pengecasannya kepada 800 titik pengecasan di 14 negeri dengan kerjasama lapan rakan perayauan menjelang akhir 2026, berbanding 645 titik pengecasan di 13 negeri serta enam rakan perayauan ketika ini.

Pengarah Urusan EV Charging and Leasing Yinson GreenTech, Kelvin Soon, berkata peluasan itu akan memberi tumpuan kepada lokasi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan harian pengguna, selain memperkukuh akses pengecasan di kawasan yang masih kurang menerima liputan.

"Antara lokasi yang menjadi keutamaan adalah pusat beli-belah, bangunan pejabat, kawasan kurang mendapat kemudahan pengecasan serta laluan Lebuhraya Utara-Selatan.

"Tahun ini sahaja kami menyasarkan membuka dua hingga empat lagi lokasi pengecasan di sepanjang lebuh raya, selain meneruskan peluasan rangkaian di kawasan yang masih kurang mempunyai kemudahan pengecasan," katanya pada sidang media selepas sesi taklimat media aplikasi chargEV 2.0 di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara lokasi baharu yang menerima kemudahan pengecasan termasuk Merdeka 118, beberapa pusat beli-belah AEON Mall serta bandar seperti Gemas, Raub, Teluk Intan dan Kuala Kangsar.

Tambahnya, liputan chargEV di Semenanjung Malaysia kini hampir mencapai tahap menyeluruh dan syarikat sedang meneroka peluang untuk memperluaskan operasi ke Sabah dan Sarawak.

Yinson GreenTech menerusi chargEV hari ini melancarkan aplikasi mudah alih baharu chargEV 2.0 yang menawarkan pengalaman pengecasan lebih pantas, mudah dan intuitif kepada pengguna EV.

Pelancaran aplikasi itu turut menandakan pencapaian penting syarikat apabila berjaya merekodkan satu juta sesi pengecasan sejak Yinson GreenTech mengambil alih perniagaan chargEV pada 2022.

Aplikasi yang dibangunkan berdasarkan pengalaman operasi lebih sedekad sebagai antara pengendali stesen pengecas EV terkemuka di Malaysia itu turut memanfaatkan data daripada lebih sejuta sesi pengecasan bagi menambah baik pengalaman pengguna.

Menurut Soon, pencapaian satu juta sesi pengecasan memberi gambaran lebih jelas mengenai corak penggunaan pengecas awam serta cabaran yang dihadapi pengguna.

"chargEV 2.0 menterjemahkan dapatan itu kepada penambahbaikan yang praktikal dan kami akan terus mengembangkan rangkaian di lokasi yang menjadi sebahagian daripada perjalanan harian pengguna. Fokus kami adalah untuk membantu pemandu menghabiskan lebih sedikit masa mengurus proses pengecasan dan lebih banyak masa berada di jalan raya," katanya.

Aplikasi baharu itu menampilkan reka bentuk lebih ringkas selain fungsi pengecasan satu klik dan 'AutoCharge', yang membolehkan proses pengecasan bermula secara automatik bagi kenderaan dan pengecas yang serasi selepas proses pendaftaran sekali sahaja.

Selain itu, aplikasi berkenaan turut dilengkapi peta yang dipertingkatkan, pemantauan aktiviti pengecasan secara langsung, perancangan perjalanan lebih baik, destinasi simpanan serta pengurusan profil pengguna yang dikemas kini.

Melalui chargEV 2.0, pengguna boleh mengakses rangkaian pengecasan di seluruh negara yang merangkumi pusat beli-belah, hotel, premis runcit, pengedar automotif, pejabat dan kawasan bandar bertrafik tinggi.

Yinson GreenTech terus memperkukuh dan memperluaskan rangkaian pengecasannya di Malaysia dengan meningkatkan kapasiti di lokasi bertrafik tinggi, menambah baik ketersediaan pengecas di lokasi sedia ada serta memperluaskan liputan ke kawasan yang masih kekurangan kemudahan pengecasan.

Syarikat itu turut komited memperluaskan pemasangan pengecas pantas di sepanjang lebuh raya utama negara bagi meningkatkan keyakinan pengguna EV untuk perjalanan jarak jauh dan merentas negeri.

Usaha berkenaan mencerminkan komitmen chargEV dalam menyokong penggunaan EV melalui pembangunan infrastruktur pengecasan dan penyelesaian digital yang lebih menyeluruh, termasuk kemudahan rangkaian pengecasan yang saling berhubung di Malaysia serta merentas sempadan.

Aplikasi chargEV 2.0 akan mula tersedia kepada pengguna mulai esok menerusi App Store dan juga Google Play.

Video Terkini

Berita Berkaitan