PETALING JAYA: Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion-Ford) melancarkan tiga varian baharu Ford Ranger iaitu Ranger Platinum, Ranger Sport dan Ranger XL, sekali gus memperluaskan pilihan kepada pelanggan dalam segmen komersial, gaya hidup dan premium.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi Semenanjung Malaysia bermula pada RM205,888 untuk Ranger Platinum, RM159,888 bagi Ranger Sport 3.0L, RM145,888 untuk Ranger Sport 2.0L dan RM127,888 bagi Ranger XL.
Varian premium Ranger Platinum dikuasakan enjin diesel turbo V6 3.0 liter yang menghasilkan kuasa 250PS dan tork 600Nm, dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan bagi menawarkan prestasi tinggi serta tahap keselesaan lebih premium.
Sementara itu, Ranger XL direka sebagai kenderaan kerja lasak yang menyasarkan pengusaha perniagaan, pengendali armada dan pengguna komersial, manakala Ranger Sport menawarkan kegunaan praktikal harian.
Pengarah Urusan Auto ConneXion, Turse Zuhair, berkata pelancaran tiga varian baharu itu dibuat susulan sambutan menggalakkan terhadap Ford Ranger Generasi Baharu yang mencatat jualan melebihi 24,000 unit di Malaysia.
"Pencapaian itu mencerminkan keyakinan pengguna terhadap Ford Ranger yang bukan sahaja menjadi pilihan bagi kegunaan komersial, malah semakin popular sebagai kenderaan harian, keluarga dan aktiviti rekreasi," katanya pada majlis pelancaran varian baharu Ford Ranger di sini, hari ini.

Ketiga-tiga varian baharu itu menawarkan kapasiti muatan sehingga 1,000 kilogram, keupayaan menunda sehingga 3,500 kilogram serta keupayaan meredah air sedalam 800 milimeter.
Model berkenaan turut dilengkapi pelbagai teknologi bantuan pemanduan, skrin sentuh 12 inci, Apple CarPlay tanpa wayar serta Android Auto.
Dalam perkembangan berkaitan, Auto ConneXion-Ford turut mengumumkan pembukaan hab alat ganti baharu di Kota Kinabalu, Sabah.
Hab yang akan mula beroperasi secara berperingkat mulai 27 Julai ini akan menyimpan kira-kira 1,000 komponen tulen Ford dan Motorcraft yang mendapat permintaan tinggi bagi memendekkan tempoh penghantaran alat ganti serta mempercepatkan kerja pembaikan di pusat servis sah.
Ketika ini, Auto ConneXion-Ford mempunyai 33 pengedar sah di seluruh negara, termasuk sembilan pusat jualan dan servis di Sabah dan Sarawak.
Tempahan bagi ketiga-tiga varian baharu itu kini dibuka di semua pengedar sah Ford di seluruh negara.
Bersempena pelancarannya, pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Ogos 2026 layak menikmati promosi terhad.
Pembeli Ranger XL dan Ranger Sport 2.0L akan menerima kamera papan pemuka Ford Front HD1080p Dashcam secara percuma, manakala pembeli Ranger Sport 3.0L dan Ranger Platinum 3.0L akan menikmati Pelan Perkhidmatan Lanjutan Asas (Basic Extended Service Plan, ESP) selama dua tahun secara percuma.
























