KUALA LUMPUR: Jumlah pendaftaran kenderaan elektrik (EV) meningkat 7.8 peratus kepada kira-kira 32,000 unit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, selepas mencatatkan satu lagi pertumbuhan yang kukuh pada Jun sebanyak 6,215 unit.
Penganalisis RHB Research, Iftaar Hakim Rusli, PROTON kekal sebagai jenama EV yang paling laris terjual pada bulan Jun, apabila data terbitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengambil kira bukan ahli Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan bahawa jenama kereta nasional itu menerajui jumlah pendaftaran dengan 1,888 unit, diikuti oleh BYD sebanyak 1,076 unit dan Tesla pula 935 unit.
"Pada pendapat kami, pertumbuhan EV yang baik ini dipacu oleh pembelian awal oleh pengguna sebelum dasar EV baharu mula dilaksanakan pada 1 Julai.
"Kami juga menekankan bahawa Jaecoo J5 EV dan Xpeng versi pemasangan tempatan (CKD) kedua-duanya sudah dibuka untuk tempahan, dengan harga Xpeng lebih kurang sama dengan varian import sepenuhnya (CBU). Sementara itu, PERODUA hanya mendaftarkan 65 unit EV pada bulan Jun, meskipun harganya dipinda baru-baru ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan lalu meningkat kepada 67,879 unit, membawakan angka enam bulan pertama tahun ini mencecah 385,000 unit.
Kenaikan bulanan itu rata-ratanya didorong oleh bilangan hari bekerja yang lebih banyak, membolehkan jumlah pengeluaran industri (TPV) turut berkembang.
Jenama nasional menyaksikan PERODUA merekodkan pertumbuhan bulanan sebanyak 12 peratus, namun PROTON mencatatkan penurunan sebanyak empat peratus.
Sementara itu, pengeluar kereta luar negara merekodkan kenaikan 21 peratus berbanding bulan sebelumnya, dengan kebanyakannya dicatatkan daripada Honda yang mencatatkan pertumbuhan mantap 77 peratis.
Iftaar Hakim berkata, RHB Research menjangka jumlah jualan keseluruhan akan terus meningkat pada enam bulan kedua 2026 ekoran faktor-faktor musim termasuk lonjakan jualan bulan December, diperkukuh oleh pelancaran model-model baharu termasuklah Proton e.MAS 7 Premium Plus, BYD Atto 3, dan Mazda CX-5.
Selain itu, katanya penurunan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang lebih rendah daripada jangkaan sebanyak 1.9 peratus pada bulan Jun, di samping semakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Jabatan Ekonomi RHB baru-baru ini, mungkin menandakan keadaan makroekonomi yang terus memberangsangkan, didorong oleh pasaran pekerjaan yang kukuh, pendapatan isi rumah yang meningkat dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil.
"Berdasarkan sejarah, TIV pada enam bulan pertama merangkumi antara 46 hingga 48 peratus daripada TIV seluruh tahun dan jika kami mengandaikan pecahan yang sama untuk 2026, hal ini bermakna TIV sepenuh tahun mencecah 806,000 hingga 844,000 unit .
"Oleh demikian, kami sekarang menaikkan andaian TIV sebanyak tiga peratus kepada 805,000 unit daripada 780,000. Walaupun begitu, kami tetap berhati-hati akan tekanan kenaikan kos yang mungkin berlaku akibat ketidaktentuan dunia dan turun naik harga komoditi, yang mungkin menjejaskan pembelian barangan bukan keperluan," katanya.











_1784776559.jpg)












