BH Online
Ringkasan Berita

Jualan kereta di Malaysia dirangsang pelancaran EV berciri tempatan, hibrid

KUALA LUMPUR: Jualan automotif Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada separuh kedua 2026, disokong oleh pelancaran model kenderaan elektrik (EV) bercirikan tempatan dan permintaan lebih kukuh bagi kenderaan hibrid, selain didorong oleh peningkatan pilihan pengguna terhadap kenderaan tenaga baharu.
Jualan kereta di Malaysia dirangsang pelancaran EV berciri tempatan, hibrid

Proton e.Mas 7 PHEV mendorong jualan kenderaan hibrid pada separuh pertama 2026 - NSTP/AZIAH AZMEE

KUALA LUMPUR: Jualan automotif Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada separuh kedua 2026, disokong oleh pelancaran model kenderaan elektrik (EV) bercirikan tempatan dan permintaan lebih kukuh bagi kenderaan hibrid, selain didorong oleh peningkatan pilihan pengguna terhadap kenderaan tenaga baharu.

Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) dalam satu nota berkata, ia menyemak semula ramalan jumlah keseluruhan industri (TIV) 2026 kepada 800,000 unit daripada 790,000 unit sebelum ini, selaras dengan unjuran terkini Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Ini berikutan jualan jualan EV yang lebih kukuh, walaupun pelaksanaan dasar EV yang lebih ketat.

Bagi separuh pertama 2026, jualan EV melonjak kepada 26,192 unit apabila pengeluar kenderaan global berusaha menghabiskan inventori kenderaan model import sepenuhnya (CBU) sambil beralih kepada kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sepenuhnya.

Jualan kenderaan hibrid juga kekal kukuh pada 25,590 unit dan dijangka terus mengukuh pada separuh pertama 2026, disokong oleh pelancaran model Proton e.Mas 7 PHEV.

Sementara itu, jualan kenderaan komersial menyusut 11 peratus pada separuh pertama 2026, terutamanya disebabkan oleh jualan lori pikap yang lebih lemah susulan harga diesel yang lebih tinggi sebelum pelaksanaan program subsidi BUDI Diesel.

"Andaian kami pada 2026, TIV merangkumi aliran diskaun dan rebat sebagai satu strategi untuk mendapatkan permulaan yang baik bagi menguasai bahagian pasaran.

"Selain itu, pelaksanaan peraturan duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV) baharu secara beransur-ansur (ditangguhkan sehingga Januari 2026 dan mungkin dilanjutkan) serta harga lantai kos, insurans dan tambang (CIF) sebelum cukai sebanyak RM200,000 bagi EV import yang dilaksanakan pada Julai 2026," katanya.

Menurutnya, peningkatan kandungan tempatan jenama kenderaan China, permintaan berterusan untuk kenderaan mampu milik, dasar pinjaman sewa beli baharu, pasaran buruh yang stabil dan rancangan pelancaran model baharu akan menyumbang kepada TIV tahun ini.

"Secara keseluruhannya, kejelasan pendapatan industri masih baik, disokong oleh tunggakan tempahan sebanyak 152,000 unit setakat akhir Jun 2026 iaitu lebih tinggi berbanding purata tempahan sebanyak 140,000 unit pada 2025.

"Sebahagian besarnya disebabkan oleh penambahan Proton Saga serba baharu, yang menyumbang 90,000 unit kepada tunggakan itu, walaupun ia dihadkan oleh kapasiti pengeluaran.

"Lebih separuh daripada tunggakan ini melibatkan model baharu, sekali gus menunjukkan daya tarikan model baharu kepada pembeli kereta," katanya.

Tambah Kenanga IB, jualan EV akan terus mencatatkan pertumbuhan yang kukuh apabila pengeluar kenderaan global menghabiskan inventori CBU sedia ada sambil beralih kepada pemasangan CKD.

Sementara itu, CGS International (CGSI) menjangkakan sektor automotif Malaysia akan merekodkan momentum jualan yang lebih kukuh pada separuh kedua 2026, disokong oleh permintaan bermusim dan aktiviti promosi yang berterusan.

"Memandangkan jualan pada separuh kedua 2026 yang lebih kukuh, kami meningkatkan unjuran TIV 2026 kepada 780,000 unit daripada 755,000 unit, kerana menjangkakan aktiviti promosi akan menyokong momentum jualan pada separuh kedua 2026," katanya.

Menurut CGSI lagi, semakan semula itu merupakan susulan daripada jualan separuh pertama yang lebih kukuh berbanding jangkaan, dengan TIV mencecah 385,353 unit, iaitu bersamaan dengan 51 peratus daripada ramalan sepanjang tahun, didorong oleh pelancaran model baharu dan kempen promosi.

-BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan