KUALA LUMPUR: Sime Beyond Auto terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan pengedar BYD terbesar di Malaysia apabila membuka BYD Sri Petaling, cawangan keenamnya di negara ini, sekali gus memperluaskan lagi rangkaian runcit dan memperkukuhkan akses pelanggan kepada jenama kenderaan elektrik (EV) itu.
Pembukaan pusat 1S baharu yang terletak di koridor Bukit Jalil-Sri Petaling itu didorong oleh jualan yang kukuh, kepercayaan pelanggan serta pelaburan berterusan syarikat dalam kecemerlangan digital dan pengalaman runcit, di samping memperkukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan pengedar BYD nombor satu di Malaysia.
Lokasi strategik itu menempatkan BYD di tengah-tengah antara kawasan kediaman dan gaya hidup sukan yang berkembang pesat di Kuala Lumpur, selain dikelilingi komuniti profesional serta keluarga muda yang menjadikannya lokasi sesuai untuk mendekati pengguna yang mengutamakan gaya hidup moden.
Mulai bulan depan, BYD Sri Petaling akan melangkah setapak lagi menerusi konsep bilik pameran berinspirasikan sukan yang mengetengahkan warisan Bukit Jalil sebagai lokasi Stadium Nasional dan pelbagai kemudahan sukan bertaraf dunia.
Konsep itu turut menampilkan bilik penyerahan kenderaan yang direka sebagai "titik tumpuan", dengan kapasiti sehingga lima kenderaan, selain ruang istirahat pelanggan yang selesa, sekali gus menjadikan bilik pameran berkenaan sebagai destinasi gaya hidup yang memperkukuh identiti progresif jenama BYD.
Pengarah Urusan, Peruncitan dan Pengedaran Malaysia Sime Motors, Vi Thim Juan, berkata perjalanan Sime Beyond Auto mencerminkan komitmen syarikat dalam meluaskan capaian jenama BYD di seluruh negara sambil meningkatkan piawaian kecemerlangan runcit dan khidmat selepas jualan automotif.
Beliau berkata, sebagai kumpulan pengedar BYD nombor satu di Malaysia, Sime Beyond Auto berbangga menerajui pengembangan operasi BYD, menyokong cita-cita pertumbuhannya serta menggiatkan penggunaan pengangkutan elektrik di seluruh negara.
Katanya, sejak ditubuhkan pada 2022, Sime Beyond Auto berkembang pesat ke pasaran utama dengan dipacu pengalaman pelanggan, hubungan digital serta kecemerlangan khidmat selepas jualan, disokong pengalaman Sime Motors dalam bidang peruncitan, pengedaran dan pengurusan pengalaman pelanggan.
Prestasi Sime Beyond Auto turut diiktiraf menerusi beberapa anugerah pada Persidangan Pengedar Kebangsaan BYD 2025, termasuk Juara Keseluruhan Malaysia menerusi BYD Mansion Macalister di Pulau Pinang dan anugerah Cawangan Pengedar Utama yang dimenangi BYD Ara Damansara di Selangor.
Selain itu, BYD Kuala Lumpur @ TREC muncul juara kategori Penyiar Strim Langsung Utama bagi prestasi TikTok LIVE, manakala BYD Mansion Macalister turut memenangi Anugerah Kecemerlangan Pengalaman Pelanggan serta muncul naib juara Anugerah Kepimpinan Lepas Jualan Cemerlang, sementara Sime Beyond Auto meraih naib juara Pengurus Pemasaran Terbaik Tahun 2025.
Dalam meningkatkan pengalaman pelanggan, Sime Beyond Auto turut menawarkan proses pendigitalan menerusi aplikasi mudah alih OneGo Sime Motors yang membolehkan pelanggan mengurus janji temu servis, mendapatkan maklumat kenderaan, menikmati manfaat eksklusif serta kekal berhubung dengan ekosistem syarikat.
Dengan pembukaan BYD Sri Petaling, Sime Beyond Auto kini memiliki enam cawangan iaitu BYD Ara Damansara, BYD Mid Valley Southkey, BYD Kuala Lumpur @ TREC, BYD Tebrau, BYD Mansion Macalister dan BYD Sri Petaling.
























