BH Online
Ringkasan Berita

UMW Toyota jual lebih 36,200 unit kenderaan separuh pertama 2026

SHAH ALAM: UMW Toyota Motor (UMWT) mengekalkan momentum jualannya pada suku kedua tahun ini apabila merekodkan jualan melebihi 7,300 unit bulan lalu, sekali gus menjadikan jumlah jualan bagi suku kedua melepasi 20,800 unit, manakala jualan terkumpul bagi separuh pertama tahun ini melebihi 36,200 unit.
UMW Toyota jual lebih 36,200 unit kenderaan separuh pertama 2026

Toyota terus menyediakan pilihan mobiliti karbon rendah yang lebih praktikal - NSTP/AMIRUDIN SAHIB

SHAH ALAM: UMW Toyota Motor (UMWT) mengekalkan momentum jualannya pada suku kedua tahun ini apabila merekodkan jualan melebihi 7,300 unit bulan lalu, sekali gus menjadikan jumlah jualan bagi suku kedua melepasi 20,800 unit, manakala jualan terkumpul bagi separuh pertama tahun ini melebihi 36,200 unit.

Prestasi itu mencerminkan keyakinan berterusan pengguna terhadap rangkaian model teras Toyota yang disokong pengembangan barisan kenderaan elektrifikasi, pembabitan bersama pelanggan yang lebih kukuh serta usaha berterusan syarikat menyediakan penyelesaian mobiliti praktikal yang memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K Ravindran, berkata pencapaian pada suku kedua itu menunjukkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap rangkaian produk Toyota serta pilihan mobiliti yang ditawarkan syarikat.

Beliau berkata, komitmen Toyota bukan sekadar memperkenalkan produk baharu, malah membina ekosistem yang menawarkan lebih banyak pilihan, keyakinan dan kemudahan kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

"Menerusi gabungan pendekatan Multi-Pathway bersama inovasi yang mempamerkan masa depan mobiliti serta pelbagai inisiatif yang memperkukuhkan pengalaman pemilikan, Toyota terus menawarkan penyelesaian yang bermakna, boleh dipercayai dan relevan kepada pengguna di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Sepanjang suku kedua, UMWT turut memperkukuhkan Toyota Multi-Pathway Electrification Strategy dengan menawarkan pilihan mobiliti yang lebih meluas mengikut gaya hidup dan tahap kesediaan pelanggan terhadap teknologi elektrifikasi.

Usaha itu dibina menerusi pengenalan rangkaian Battery Electric Vehicle (BEV) yang merangkumi Toyota bZ4X, Urban Cruiser BEV dan Hilux BEV, di samping pelancaran Toyota Yaris Cross serba baharu dalam varian enjin pembakaran dalaman (ICE) serta hibrid elektrik (HEV).

Melalui pengembangan portfolio itu, Toyota terus menyediakan pilihan mobiliti karbon rendah yang lebih praktikal, selain memberi kebebasan kepada pelanggan memilih teknologi yang paling sesuai dengan keperluan pemanduan harian masing-masing.

Dalam memperkukuhkan lagi pengalaman pelanggan, UMWT turut meneruskan pelaksanaan program Toyota Extra Mile, yang memberi nilai tambah kepada pemilik kenderaan selepas pembelian.

Program itu dibangunkan berasaskan enam teras utama iaitu Extra Rewards, Extra Protection, Extra Convenience, Extra Peace of Mind, Extra Security dan Extra Care, yang menyediakan pelbagai manfaat kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan.

Antara manfaat yang ditawarkan menerusi Toyota Extra Mile ialah ganjaran kepada pelanggan, perlindungan kenderaan, akses servis yang lebih mudah, jaminan tambahan, sokongan keselamatan serta khidmat penjagaan pelanggan yang lebih menyeluruh.

Ravindran berkata, pendekatan yang menggabungkan pilihan produk, teknologi mobiliti masa depan serta pengalaman pemilikan yang dipertingkatkan itu terus mengukuhkan keyakinan pelanggan terhadap jenama Toyota, sekali gus menyokong momentum pertumbuhan syarikat dalam pasaran automotif negara.

Video Terkini

Berita Berkaitan