BH Online
Ringkasan Berita

JAECOO J5 EV model pertama tampil konsep mesra haiwan peliharaan

KUALA LUMPUR: OMODA | JAECOO Malaysia memperkenalkan JAECOO J5 EV, model kenderaan elektrik (EV) pertama jenama itu di Malaysia yang menampilkan konsep mesra haiwan peliharaan.
JAECOO J5 EV model pertama tampil konsep mesra haiwan peliharaan

JAECOO J5 EV menawarkan jarak pemanduan sehingga 402 kilometer mengikut piawaian WLTP - NSTP/AHMAD UKASYAH

KUALA LUMPUR: OMODA | JAECOO Malaysia memperkenalkan JAECOO J5 EV, model kenderaan elektrik (EV) pertama jenama itu di Malaysia yang menampilkan konsep mesra haiwan peliharaan.

Pengurus Produk OMODA JAECOO Malaysia, Kamal Afiq, berkata pemilihan Oh My Meow! Expo 2026 sebagai lokasi penampilan pertama model berkenaan selari dengan konsep mesra haiwan peliharaan yang menjadi antara keunikan JAECOO J5 EV.

"JAECOO J5 EV ialah model pertama di dunia yang menerima pensijilan dalaman mesra haiwan daripada TĂœV SĂœD. Ia menggunakan bahan kabin yang lebih tahan calar dan bau, selain susun atur ruang serta sistem kawalan suhu yang direka untuk memastikan haiwan peliharaan lebih selesa sepanjang perjalanan," katanya pada Oh My Meow! Expo 2026 di sini, hari ini.

JAECOO J5 EV dipacu motor elektrik hadapan yang menghasilkan kuasa 155 kilowatt (kW) dan tork 288 Newton meter (Nm), dipadankan dengan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) CATL berkapasiti 58.9 kilowatt-jam (kWh).

Model itu menawarkan jarak pemanduan sehingga 402 kilometer (km) mengikut piawaian WLTP serta menyokong pengecasan pantas DC yang membolehkan kapasiti bateri meningkat daripada 30 kepada 80 peratus dalam tempoh 28 minit.

Selain itu, ia dilengkapi fungsi 'Vehicle-to-Load' (V2L) yang membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik luaran.

Kamal berkata, JAECOO J5 EV turut menawarkan ciri 'Camping Zone' yang merangkumi sistem karaoke dan bekalan kuasa untuk peralatan elektrik, sekali gus menjadikannya sesuai bagi aktiviti rekreasi serta perkhemahan.

"Model ini juga menggunakan material kabin yang mudah diselenggara serta lebih tahan terhadap kotoran dan kerosakan akibat haiwan peliharaan," katanya.

Dari segi praktikaliti, JAECOO J5 EV menyediakan ruang simpanan hadapan atau 'frunk' berkapasiti 35 liter, ruang kargo belakang 480 liter serta 35 ruang simpanan di dalam kabin bagi memenuhi keperluan pengguna, termasuk keluarga dan pemilik haiwan peliharaan.

Orang ramai boleh melihat JAECOO J5 EV di reruai OMODA | JAECOO Malaysia sepanjang Oh My Meow! Expo 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 12 Julai di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), sebelum model itu dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia.

Video Terkini

Berita Berkaitan