SINGAPURA: Pembeli kereta di Singapura kini perlu membayar hampir S$100,000 (RM315,000) hanya untuk mendapatkan Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) bagi memiliki sebuah kereta kecil, selepas kos dalam sistem kuota kenderaan negara itu mencecah paras tertinggi dalam sejarah bagi kategori kenderaan kecil
Singapura mengadakan lelongan berkala bagi sejumlah tetap COE yang memberikan hak memiliki kenderaan selama 10 tahun.
Sistem itu diperkenalkan bagi mengehadkan jumlah kenderaan di jalan raya kepada sekitar sejuta unit.
Negara itu mempunyai kira-kira 6.1 juta penduduk dan boleh dilalui dengan kereta dalam tempoh kurang sejam.
Sistem lelongan itu menjadikan Singapura sebagai negara paling mahal di dunia untuk memiliki kereta.
Harga COE bagi kenderaan kecil, iaitu yang mempunyai kapasiti enjin di bawah 1.6 liter, telah meningkat empat kali ganda berbanding sebelum pandemik COVID-19, tanpa menunjukkan tanda-tanda akan reda.
Menjawab pertanyaan di Parlimen pada Mei mengenai kenaikan harga itu, Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow, berkata permintaan kekal tinggi berikutan harga kereta elektrik yang semakin kompetitif, manakala jumlah COE bagi kategori kenderaan kecil yang ditawarkan dalam lelongan semakin berkurangan.
Harga COE sahaja kini bersamaan kos membeli empat buah Toyota Corolla di Amerika Syarikat (AS).
Di Singapura pula, sebuah Toyota Corolla termasuk COE, yuran pendaftaran dan cukai berharga S$179,888 (AS$139,000).
Sebagai perbandingan, pendapatan tahunan isi rumah median di Singapura ialah S$149,352, manakala sebuah flat kecil bersubsidi kerajaan berharga bermula sekitar S$139,000.
Pada Oktober 2023, ketika harga COE bagi kereta bersaiz besar melepasi paras S$100,000, harga COE untuk kereta kecil adalah sekitar S$77,500.
Sejak itu, harganya terus meningkat daripada S$78,844 pada lelongan pertama tahun ini kepada paras rekod terkini.
Bagi membolehkan model mereka layak di bawah kategori COE yang lebih murah, banyak pengeluar kereta mengurangkan talaan prestasi enjin bagi model-model popular khusus untuk pasaran Singapura.
-Reuters
























