BH Online
Ringkasan Berita

Honda hentikan jualan kereta di Korea Selatan selepas 23 tahun

Seoul: Honda Korea, anak syarikat jualan Korea Selatan milik Honda Motor Co., berkata bahawa ia akan menarik diri daripada pasaran automotif negara itu, sekali gus menamatkan operasi selama 23 tahun di negara tersebut, lapor Yonhap News Agency.
Honda hentikan jualan kereta di Korea Selatan selepas 23 tahun

Honda memasuki pasaran Korea Selatan pada 2001 melalui perniagaan motosikal, - Foto Reuters

Seoul: Honda Korea, anak syarikat jualan Korea Selatan milik Honda Motor Co., berkata bahawa ia akan menarik diri daripada pasaran automotif negara itu, sekali gus menamatkan operasi selama 23 tahun di negara tersebut, lapor Yonhap News Agency.

Pengeluar kenderaan itu mengumumkan pelan berkenaan dalam satu sidang media di Seoul, dengan menyatakan ia akan menghentikan jualan kenderaan di Korea Selatan menjelang akhir 2026.

"Kami telah menilai dengan teliti hala tuju perniagaan kami berdasarkan perubahan keadaan pasaran dan turun naik kadar pertukaran," kata Ketua Honda Korea, Lee Ji-hong.

Honda Korea akan terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan sedia ada.

Syarikat itu juga memaklumkan bahawa ia akan memperkukuh perniagaan motosikalnya di Korea Selatan dengan meningkatkan daya saing produk, perkhidmatan pelanggan dan pengalaman jenama.

Honda memasuki pasaran Korea Selatan pada 2001 melalui perniagaan motosikal, diikuti pelancaran unit jualan automotif pada Mac 2003.

Honda Korea telah menjual secara kumulatif sebanyak 108,600 kereta di Korea Selatan setakat bulan lalu.

Syarikat itu mengekalkan pegangan pasaran tertinggi dalam segmen motosikal, dengan jumlah jualan kumulatif mencecah 420,600 unit.

Honda Korea juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk menjadi jenama kereta import pertama di negara itu yang melancarkan platform jualan kenderaan dalam talian pada April 2023.

- BERNAMA-YONHAP

Video Terkini

Berita Berkaitan