SHAH ALAM: Selangor memperuntukkan kira-kira 40 tan buah-buahan tempatan yang membabitkan 15 jenis hasil petani tempatan seperti durian, manggis, rambutan, nanas dan jambu sempena Pesta Buah-buahan Tempatan Selangor.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim berkata, pesta selama tiga hari sehingga Ahad ini bukan sekadar pesta biasa sebaliknya menggalakkan rakyat mengutamakan buah tempatan serta membantu usahawan tani memasarkan hasil tanaman mereka.
"Kita hendak mempromosikan buah-buahan tempatan supaya mereka dapat memperluaskan jualan dan memperkenalkan produk mereka bukan sahaja buah-buahan tetapi juga produk yang diproses menggunakan buah-buahan tempatan.
"Buah tempatan bukan sahaja berkhasiat dan segar tetapi kita hendak kurangkan penggantungan pada import buah-buahan luar negara sebab ketika ini kita import buah dan sayur dari luar negara RM7.5 billion setahun.
"Seperti saya cadang tadi dengan memberikan buah-buahan tempatan sebagai 'fruit basket' atau buah tangan kerana ini membantu kita memastikan jualan buah-buahan tempatan lebih baik.
"Usaha ini juga dapat membantu petani tempatan selain meningkatkan jualan hasil pertanian negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian Festival Buah-buahan Tempatan Selangor di Aneka Walk, Seksyen 13, di sini petang tadi.
Mengulas mengenai program berkenaan katanya, kebanyakan buah yang dipasarkan adalah hasil keluaran usahawan Selangor, hanya sebahagian kecil dibawa masuk dari negeri lain bagi memenuhi permintaan pengunjung.
"Sepanjang festival ini kita menyasarkan nilai jualan sekitar RM250,000 selain menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan 'happy hour' khas kepada pengunjung selain pertandingan kanak-kanak dan promosi produk berasaskan buah-buahan tempatan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas ketika ditanya sama ada fenomena cuaca panas memberi kesan kepada hasil pertanian terutamanya buah-buahan di negeri ini.
Jelas beliau, pengeluaran buah-buahan dan hasil pertanian di Selangor masih terkawal kerana bekalan air mencukupi dengan paras tujuh empangan kekal melebihi 85 peratus setakat tahun ini.
"Kerajaan negeri akan terus memantau paras sungai dan bekalan air bagi memastikan sektor pertanian tidak terjejas sekiranya cuaca panas berpanjangan," katanya.
























