BH Online
Ringkasan Berita

Perak teliti cadangan bina telaga tiub di sawah atasi impak kemarau

PARIT: Cadangan pembinaan telaga tiub atau telaga artesian di kawasan sawah padi adalah antara yang sedang dinilai kerajaan Perak sebagai penyelesaian bagi mengurangkan masalah bekalan air yang menjejaskan kawasan sawah di luar jelapang padi di daerah Perak Tengah.
Perak teliti cadangan bina telaga tiub di sawah atasi impak kemarau

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, ketika lawatan kerja ke kawasan Pengairan Luar Jelapang Daerah Perak Tengah di Rumah Pam JPS Teluk Bakong, Bota. - Foto NSTP

PARIT: Cadangan pembinaan telaga tiub atau telaga artesian di kawasan sawah padi adalah antara yang sedang dinilai kerajaan Perak sebagai penyelesaian bagi mengurangkan masalah bekalan air yang menjejaskan kawasan sawah di luar jelapang padi di daerah Perak Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ia adalah antara beberapa langkah yang mahu diambil susulan El-Nino.

Selain itu, kadar pelepasan air di empangan utama sepanjang Sungai Perak dikawal serta pam bergerak dipasang.

Beliau berkata, penurunan paras air Sungai Perak sejak beberapa bulan lalu susulan kemarau memberi kesan kepada operasi pengambilan air di beberapa lokasi skim pengairan hingga menjejaskan kawasan tanaman padi luar jelapang seluas 3,160 hektar di daerah Perak Tengah.

Menurutnya, pengairan utama yang menerima bekalan air daripada Sungai Perak yang terkesan, termasuk di Skim Pengairan Bota Lambor (Teluk Bakong), Bota Kiri, dan Kubang Haji, susulan pengurangan aliran sungai yang memberi cabaran kepada sistem pengairan hingga menjejaskan kira-kira 1,200 pesawah di daerah ini.

"Untuk cadangan membina telaga artesian, kalau tengok kos yang dirangka untuk buat 10 telaga artesian ini pun memakan kos sekurang-kurangnya RM3 juta selain memakan masa sekurang-kurangnya setahun setengah termasuk untuk buat kajian serta proses mengorek.

"Untuk pelepasan air di empangan, TNB Genco diharapkan dapat bertolak ansur dalam membuat pelepasan air dari empangan sama ada di Temengor, Bersia, Kenering, dan Chenderoh supaya boleh meredakan suasana kerana pelepasan air yang ditahan itu menyebabkan pesawah ini menghadapi masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena lawatan kerja ke kawasan Pengairan Luar Jelapang Daerah Perak Tengah di Rumah Pam JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Teluk Bakong, Bota, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Kata Mohammad Nizar, cadangan pembinaan telaga artesian itu diputuskan hasil lawatan serta perbincangan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta wakil rakyat kawasan.

Mohammad Nizar dalam pada itu berkata daripada tiga skim pengairan yang mengahadapi masalah bekalan air hingga membelenggu pesawah sejak kira-kira sebulan lalu, satu daripadanya iaitu Skim Pengairan Bota Lambor (Teluk Bakong) sudah berjaya diselesaikan apabila pam JPS di Rumah Pam Teluk Bakong sudah kembali berfungsi.

Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata pasukan petugas khas berkemungkinan ditubuhkan bagi meneliti cadangan terbaik mengatasi kesan kemarau terhadap pengairan tanaman padi bukan sahaja di daerah itu malah membabitkan seluruh negeri.

Zolkafly berkata, kerajaan negeri juga sedang meneliti bentuk bantuan yang sesuai kepada pesawah yang kehilangan pendapatan akibat tidak dapat memulakan atau menunda penanaman padi.

Video Terkini

Berita Berkaitan