BANTING: Lebih 250 peserta menghadiri Program SERUMPUN: Mahasiswa UUM Bersama Komuniti Temuan di Dewan Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Banting semalam.
Program itu memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti dalam usaha memperkasakan masyarakat Orang Asli melalui pendidikan, keselamatan dan pembangunan sosial.
Program itu anjuran pelajar Kursus Pembangunan Masyarakat IV (VKMB2041), Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti mengenai penggunaan tenaga secara cekap melalui sesi Literasi Tenaga, di samping memupuk kesedaran terhadap amalan keselamatan dan langkah-langkah pencegahan kebakaran.
Majlis perasmian disempurnakan Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Tadom, Hadi Anak Jembik.
Turut hadir Pensyarah Kursus VKMB2041, Zulhairi Zakariah, yang mewakili Pengarah PACE UUM dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Bukit Tadom, Soeb Miah.
Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Semai nilai kemanusiaan graduan
Program itu turut mencerminkan komitmen Universiti Utara Malaysia melalui PACE dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki nilai kemanusiaan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial menerusi pembabitan aktif dalam program khidmat masyarakat.
Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai pengisian termasuk sesi Literasi Tenaga, demonstrasi penggunaan alat pemadam api, pameran keselamatan kebakaran, aktiviti interaktif bersama komuniti serta penyampaian sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk Kampung Orang Asli Bukit Tadom.
Pengarah Program, Mohd Khairulnizam Zainodin, berkata program itu bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti Temuan, malah menjadi wadah kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti serta memupuk semangat kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.
"Kami berharap Program SERUMPUN dapat memberikan manfaat kepada komuniti Temuan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan tenaga secara cekap melalui amalan Literasi Tenaga serta langkah-langkah pencegahan kebakaran.
"Pada masa yang sama, program ini menjadi platform pembelajaran yang amat berharga kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari, di samping menghayati nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial melalui pembabitan secara langsung bersama komuniti.
"Kami juga berharap jalinan kerjasama yang terjalin antara Universiti Utara Malaysia, agensi kerajaan, rakan korporat dan komuniti setempat menerusi Program SERUMPUN akan terus diperkukuh bagi melahirkan lebih banyak inisiatif pembangunan komuniti yang memberi impak positif dan mampan," katanya.
Program SERUMPUN diharap menjadi platform berterusan dalam memperkukuh kerjasama strategik antara universiti, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti ke arah memperkasakan masyarakat Orang Asli serta meningkatkan kesejahteraan mereka secara menyeluruh.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik, penaja, sukarelawan dan komuniti Kampung Orang Asli Bukit Tadom atas sokongan serta kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.
























