KUANTAN: Keprihatinan pada golongan memerlukan mendorong sekumpulan wanita tampil mengadakan Projek Jalinan Kasih yang menyediakan makanan percuma setiap pagi Jumaat di hentian bas Pokok Buluh, di sini.
Projek suka rela sambil bersedekah itu bermula sejak 15 tahun lalu, individu terbabit masing-masing menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman untuk diagihkan secara percuma kepada golongan memerlukan tanpa mengira bangsa.
Pengasas Projek Jalinan Kasih, Noordeyana Mohd Rashdi, 43, berkata mereka bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hanya menumpukan pada aktiviti menyediakan makanan percuma kepada golongan memerlukan setiap Jumaat, tidak lebih daripada itu.
Menurutnya, semua ahli terdiri daripada wanita pelbagai kerjaya seperti kakitangan kerajaan hingga ke peringkat pengarah jabatan, pesara dan usahawan termasuk suri rumah.
"Kami tampil menghulur sumbangan makanan yang termampu berkongsi rezeki sejak 15 tahun lalu," katanya.
Tambah beliau, kini terdapat seramai 20 ahli yang aktif setiap minggu menyediakan makanan sambil mengagihkan kepada golongan memerlukan, lebih 150 pek makanan dan minuman termasuk kuih disediakan secara percuma.
"Sekiranya ada lebihan makanan kami akan hantar kepada pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan termasuk Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP), masjid serta rumah anak yatim dan asnaf di beberapa penempatan daerah ini.
"Agihan makanan bermula 9.30 pagi, berupa makanan menu berat seperti nasi lemak, mi goreng, mee hoon goreng, kuih muih, roti, minuman dan pelbagai hidangan lain mengikut rezeki pada hari berkenaan," katanya, di sini hari ini.
Beliau menambah, sebagai pengasas program dia tidak menyangka bermula hanya sebanyak 20 pek makanan pada awal penubuhan kini bertambah kepada 150 hingga 200 pek dan jumlahnya dijangka bertambah pada masa akan datang.
Noordeyana berkata, sekiranya ahli Projek Jalinan Kasih tidak mampu menyediakan makanan, mereka boleh menyumbang tenaga ketika agihan dilakukan setiap pagi Jumaat.


















