BH Online
Ringkasan Berita

Infrastruktur berusia lebih 20 tahun perlu dibaik pulih

BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang memohon peruntukan tambahan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi melaksanakan kerja menaik taraf infrastruktur di tiga kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, yang sebahagiannya dilaporkan berusia lebih 20 tahun.
Infrastruktur berusia lebih 20 tahun perlu dibaik pulih

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) meninjau sistem perparitan pada program Jelajah Ketua Menteri di Bagan Dalam, hari ini. Foto Nur Izzati Mohamad/NSTP

BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang memohon peruntukan tambahan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi melaksanakan kerja menaik taraf infrastruktur di tiga kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, yang sebahagiannya dilaporkan berusia lebih 20 tahun.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata permohonan itu membabitkan kawasan Taman Mewah, Taman Bagan dan Kampung Bengali yang dikenal pasti memerlukan kerja naik taraf susulan aduan berterusan penduduk mengenai kerosakan jalan dan sistem perparitan.

"Pulau Pinang menerima kira-kira RM300 juta setahun melalui peruntukan ini, namun jumlah itu perlu diagihkan mengikut keutamaan berdasarkan permohonan daripada agensi yang layak seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pejabat daerah," katanya selepas Jelajah Ketua Menteri dalam Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bagan Dalam, di Taman Mesra, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Kumaran Krishnan, berkata tiga lokasi berkenaan dipilih selepas perbincangan bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ahli Majlis susulan banyak aduan diterima daripada penduduk.

Katanya, kawasan terbabit adalah taman perumahan lama dengan struktur longkang yang dibina lebih 20 hingga 30 tahun lalu dan kini memerlukan pembaikan menyeluruh.

"Saya pernah mengemukakan permohonan kepada MBSP, namun kita faham terdapat kekangan kewangan menyebabkan permohonan itu belum dapat diluluskan.

"Saya berharap selepas Jelajah Ketua Menteri ini, kerajaan negeri dapat membantu mendapatkan dana bagi menyelesaikan masalah yang sudah lama berlarutan kerana ia membabitkan kemudahan asas yang digunakan rakyat setiap hari," katanya.

Kumaran berkata, antara aduan diterima termasuk jalan beralun dan berlubang akibat mendapan, manakala pembaikan hanya dilaksanakan secara tampalan kerana kekangan bajet, selain longkang uzur limpahan air mengakibatkan banjir di hadapan premis perniagaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan