MELAKA: Tender pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral di tapak lama yang terletak bersebelahan Terminal Melaka Sentral, di sini dijangka dibuka bulan depan.
Datuk Bandar Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman berkata pihaknya kini dalam proses menyiapkan dokumen tender pembi
naan pasar berkonsepkan "Serambi Melaka" yang bernilai hampir RM15 juta.
"Peruntukan bagi pembinaan pasar besar berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
"Pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral dijangka mengambil masa selama setahun lapan bulan dan ia melibatkan bangunan setingkat bagi menempatkan 330 peniaga serta dilengkapi pelbagai kemudahan asas," katanya kepada pemberita di Pasar Wilayah Kota Laksamana, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Kempen Pasar Awam Bersih 2026 yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana yang juga Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong.
Shadan berkata Pasar Besar Melaka Sentral akan menggantikan Pasar Besar MBMB di Bachang yang berstatus transit atau sementara dan kesemua peniaga berkenaan akan dipindahkan ke pasar baharu itu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerja-kerja menaik taraf Pasar Wilayah Kota Laksamana dilakukan menerusi peruntukan berjumlah hampir RM1 juta yang diterima daripada KPKT.
Beliau berkata kerja-kerja berkenaan dilakukan menerusi dua fasa bermula tahun lepas bagi memberi keselesaan kepada 25 peniaga aktif di pasar berkenaan, selain pengunjung di sekitar kawasan itu.
Terdahulu, Shadan berkata Kempen Pasar Awam Bersih berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga dan pengunjung untuk menjaga kebersihan secara konsisten agar ia menjadi satu budaya dan amalan bersama.
"Kempen ini dilakukan secara berterusan bagi mengekang pembiakan vektor pembawa penyakit seperti lalat, tikus dan nyamuk yang boleh berpunca daripada persekitaran pasar awam yang tidak bersih," katanya.
– BERNAMA
























