JASIN: Sekurang-kurangnya 13 rumah di Kampung Asam Kumbang, Bemban, di sini dilanda banjir kilat hanya selepas kira-kira sejam hujan lebat yang menyebabkan penduduk terpaksa menanggung kerugian apabila harta benda rosak.
Warga emas, Huzir Ali, 60, berkata kejadian pagi tadi antara banjir paling buruk pernah dialaminya sepanjang tiga tahun menetap di kawasan itu.
Beliau berkata, hujan lebat bermula kira-kira jam 7 pagi sebelum air mula naik mendadak hanya dalam tempoh sejam hingga menenggelamkan rumahnya.
"Air naik terlalu cepat, dalam masa singkat seluruh rumah ditenggelami air. Motosikal saya turut tenggelam, manakala perabot, barangan elektrik dan kelengkapan rumah rosak tak sempat diselamatkan," katanya.
Beliau berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertindak pantas membantu memindahkan ahli keluarga ke tempat selamat.
Katanya, walaupun air mula surut kira-kira sejam selepas hujan reda, penduduk terpaksa membersihkan kediaman masing-masing selain menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda.
"Air memang surut dengan cepat tetapi kerja membersihkan rumah bukan boleh siap dalam sehari. Banyak barangan rosak dan kami terpaksa menanggung kerugian," katanya.
Huzir mendakwa keadaan banjir di kampung itu semakin buruk sejak pembangunan kawasan perumahan berhampiran dan berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera termasuk menyelenggara sungai secara berkala bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sementara itu, tinjauan di lokasi mendapati hujan lebat turut menjejaskan beberapa rumah di Kampung Lubuk Kasau berhampiran.
Dalam pada itu, APM memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini berikutan kebanyakan mangsa memilih berlindung di rumah saudara atau pulang semula ke kediaman masing-masing selepas keadaan banjir pulih.



















