GUA MUSANG: Tujuh pekebun Orang Asli di Pos Belatim, di sini, terpaksa berputih mata apabila kebun yang diusahakan dengan pelbagai tanaman dimusnahkan sekumpulan gajah liar sejak dua minggu lalu.
Sekumpulan enam gajah liar merosakkan tanaman penduduk Orang Asli kaum temiar di tiga kampung iaitu Kampung Belatim A, B, dan C.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Belatim, Roireng Ngah, 34, berkata masalah gangguan dan serangan gajah liar terhadap penduduk itu sudah berlarutan sejak empat tahun lalu.
Namun katanya, kumpulan gajah liar itu semakin kerap masuk ke kawasan kebun penduduk dan memusnahkan tanaman seperti ubi kayu, pisang dan anak getah sejak dua minggu lalu.
"Semua yang kami tanam termasuk anak getah dan sawit turut dimusnahkan kumpulan gajah liar ini sehingga kami mengalami banyak kerugian.
"Rasa terkilan dan sangat kecewa apabila pokok pisang dan ubi kayu yang sudah membuahkan hasil dan hanya menunggu masa untuk dituai musnah dalam sekelip mata dan hasil tanaman ini yang kami harapkan untuk menjadi sumber makanan," katanya ketika dihubungi, di sini.
Roiren berkata, dia bersama beberapa penduduk kampung yang terbabit sudah melaporkan kejadian kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Khamis lalu.
Katanya, dia berharap tindakan segera dapat diambil pihak berwajib tentang masalah terbabit dan sekali gus membantu menyelesaikan masalah penduduk Orang Asli di Pos Belatim.
"Selain masalah kebun dan tanaman yang dirosakkan gajah liar ini, kami juga risau akan keselamatan penduduk di pedalaman ini.
"Kami takut kumpulan gajah liar ini bertindak agresif dan menyerang penduduk tambahan pula ia semakin membiak di kawasan berhampiran penempatan kami," katanya.
























