SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil langkah segera membina laiuan pejalan kaki sejauh 200 meter bagi kesulitan berkaitan di stesen Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam yang tular ketika ini.
Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata, MBSA memahami keperluan pengguna untuk menikmati kemudahan laluan pejalan kaki yang lebih menyeluruh seiring dengan pengoperasian LRT3.
"MBSA mengambil maklum pandangan dan maklum balas orang ramai berhubung kemudahan laluan pejalan kaki di beberapa stesen LRT3 dalam kawasan pentadbiran MBSA, khususnya Stesen Dato' Menteri, Stesen Stadium Shah Alam, Stesen Seksyen 7 dan Stesen Kerjaya yang mula beroperasi pada Isnin lalu.
"Sebagai langkah segera, MBSA komited untuk melaksanakan kerja-kerja penyediaan laluan pejalan kaki sejauh 200 meter sebagai sambungan dari Stesen Stadium Shah Alam ke lampu isyarat Persiaran Sukan/Persiaran Akuatik dalam tempoh satu bulan.
"MBSA sentiasa komited dalam menyediakan kemudahan awam yang selamat, selesa dan mudah diakses," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, semasa kelulusan pelan pembangunan stesen-stesen LRT3 pada 2019, MBSA menetapkan syarat penyediaan laluan pejalan kaki bagi menghubungkan stesen dengan kawasan tumpuan, pembangunan komersial dan kemudahan awam di sekitarnya.
"Bagi Stesen Dato' Menteri, pelan pembangunan diluluskan kepada Prasarana dengan syarat penyediaan laluan pejalan kaki berbumbung selebar minimum kira-kira satu setengah meter yang menghubungkan stesen ke Shah Alam Convention Centre (SACC), Kompleks PKNS serta sepanjang Persiaran Bandaraya sehingga bangunan Maybank.
"Pembinaan kemudahan ini sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini.
"MBSA turut mensyaratkan penyediaan laluan pejalan kaki kepada pembangunan sekitar yang dilaksanakan oleh PKNS, Nexus Pace Sdn. Bhd. dan Starhill Century Sdn. Bhd. bagi melengkapkan rangkaian laluan pejalan kaki di kawasan itu," katanya.
Bagi Stesen Stadium Shah Alam pula, pelan pembangunan diluluskan kepada Prasarana dengan syarat menyediakan laluan pejalan kaki dari Jalan Lontar Peluru 13/39 ke Jalan Tukul Besi 13/41 serta di Persiaran Sukan berhampiran Management and Science University (MSU).
"Laluan pejalan kaki sedia ada dari Jalan Tukul Besi 13/41 ke tapak gantian tempat letak kereta turut disyaratkan untuk dinaik taraf.
"Syarat sama turut dikenakan kepada pembangunan sekitar yang membabitkan MSU Aset Sdn Bhd, PKNS, Fernline Corporation Sdn Bhd, Moripark Sdn Bhd serta Lebaran Prospek Sdn Bhd bagi memastikan rangkaian laluan pejalan kaki dapat dibangunkan secara berperingkat," katanya.
Menurutnya, bagi penyediaan laluan sambungan dari Persiaran Akuatik ke Aeon Mall, pihak Majlis sedang melaksanakan proses lantikan kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf persiaran berkenaan.
























