GUA MUSANG: "Kami macam berada di kawasan zoo, seawal pagi sudah dapat lihat kelibat gajah liar berkeliaran berhampiran rumah".
Demikian luahan Aznan Siam berkait kehadiran gajah liar di Pos Pasik ketika ini yang kerap berkeliaran di kawasan kampung hampir setiap hari hingga membuatkan penduduk tidak lena tidur.
Katanya, empat gajah liar itu turut merosakkan hasil tanaman penduduk Orang Asli di kawasan itu seperti jagung, padi dan durian yang gugur.
"Sudah banyak buah durian hasil tanaman penduduk dirosakkan gajah liar sehingga kami tak sempat nak jual. Sebelum ini, ada yang sanggup datang ke Pos Pasik hanya semata-mata untuk beli durian, tapi tahun ini tak dapat jual.
"Selain tanaman di kebun seperti padi dan pisang, gajah liar turut merosakkan hasil tanam sara hidup yang ditanam sekeliling rumah kerana kerap berkeliaran di kawasan kampung dan rumah penduduk.
"Bukan tidak ada aduan dibuat, tapi semuanya hanya sia-sia, kami bimbang keselamatan penduduk di sini, terutama kanak-kanak," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Mohd Sani Nahtiman, berkata sejak lebih sebulan lalu, penduduk terpaksa berjaga malam kerana kemunculan gajah liar terbabit.
Katanya, kehadiran gajah liar berhampiran rumah penduduk sangat merisaukan kerana boleh mengancam keselamatan mereka.
"Di kampung ini juga masih banyak rumah buluh dan kayu, jadi tak selamat untuk diduduki penduduk. Sebelum ini sudah ada rumah penduduk rosak apabila gajah liar lalu dan bergesel dengan dinding buluh.
"Jadi sudah lebih sebulan kami terpaksa bergilir-gilir berjaga malam memantau pergerakan gajah liar. Saya rayu tindakan segera pihak berwajib tangani masalah ini kerana ia bukan saja menyebabkan kami terputus sumber makanan, tetapi juga mengancam keselamatan," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, berkata aduan mengenai masalah terbabit sudah dipanjangkan kepada pihak berwajib dan pihaknya berharap tindakan segera kerana isu itu membabitkan keselamatan penduduk.
























