JERANTUT: Pekebun kelapa sawit di Kampung Labu, dekat sini menerima bantuan pemasangan kotak sarang burung pungguk sebagai ejen kawalan biologi untuk mengurangkan ancaman tikus di ladang kelapa sawit.
Program dianjurkan Yayasan Konservasi Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Kumpulan Penyelidikan Burung Hantu dan Tikus (BORG), Universiti Sains Malaysia (USM) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Labu.
Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud, berkata program itu bertujuan mempromosikan penggunaan burung pungguk jelapang sebagai ejen kawalan biologi untuk mengurangkan ancaman tikus perosak di ladang kelapa sawit.
"Pendekatan terbabit mampu mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan racun kimia yang boleh memberi kesan negatif kepada biodiversiti dan alam sekitar termasuk pencemaran sumber air.
"Sebanyak 17 kotak sarang dipasang di kawasan ladang milik 16 pekebun kecil sawit di Kampung Labu dan dijangka dapat membantu mengurangkan ancaman tikus perosak," katanya.
Hairulazim berkata, program itu turut membabitkan pemantauan bulanan pakar penyelidik BORG USM yang diketuai Prof Dr Abu Hassan Ahmad bagi memastikan burung pungguk menghuni kotak sarang berkenaan dan berfungsi sebagai kawalan semula jadi di ladang sawit.
Beliau berkata, bantuan kepakaran MPOGCF dan BORG USM secara tidak langsung dapat mengurangkan beban pengurusan pekebun kecil yang kebanyakannya masih berdepan pulangan hasil sawit yang rendah.
"Program ini diharap dapat diperluaskan ke kawasan Lembah Tembeling di daerah Jerantut yang turut berdepan ancaman sama, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti hasil sawit pada masa depan," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Daerah Jerantut, Datuk Rozilan Salleh, berkata program berkenaan sesuai dilaksanakan di ladang sawit milik pekebun kecil kerana dapat membantu menangani ancaman tikus perosak pada peringkat awal.
"Selain membantu mengurangkan penggunaan racun, langkah ini juga dapat menjimatkan kos pengurusan dan meningkatkan hasil tanaman," katanya.
























