BH Online
Ringkasan Berita

Exco Perak ikrar kerjasama BN-PH hingga DUN bubar

IPOH: Kerajaan Perpaduan di Perak yang membabitkan gabungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) akan terus kekal sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Exco Perak ikrar kerjasama BN-PH hingga DUN bubar

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menyempurnakan Majlis Perasmian Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Jalan Jumbo Jet, Taman Lapangan Terbang. - Foto NSTP

IPOH: Kerajaan Perpaduan di Perak yang membabitkan gabungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) akan terus kekal sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani yang juga Pengerusi BN Perak berkata, situasi yang berlaku di negeri Melaka yang menyaksikan DAP menarik sokongan daripada kerajaan negeri itu, tidak akan berlaku di Perak serta menegaskan masalah sedemikian tidak berlaku di negeri ini.

"Di Perak saya tidak ada masalah itu kerana selepas DAP mengumumkan mereka keluar daripada Kerajaan Perpaduan di Melaka, maka semalam (Rabu) sebelum mesyuarat Exco saya duduk dengan Exco-Exco saya.

"Secara terus terang saya tanya adakah apa yang berlaku di Melaka akan berlaku di Perak? (Namun) sehingga semalam tak berlaku.... (Dan) kita berikrar oleh kerana masa untuk kita berkhidmat masih panjang.

"Apa yang akan berlaku selepas pembubaran dewan (Dewan Undangan Negeri-DUN), cerita lain tetapi untuk sekarang sehingga bubar Dewan kita akan tunjukkan prestasi seperti biasa. Jadi, tiada masalah, kerana kita masih boleh bekerjasama," katanya.

Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Jalan Jumbo Jet, Taman Lapangan Terbang, di sini petang semalam.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan, dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Halaman Suri Sejahtera diwujudkan sebagai sebuah pusat komuniti yang selamat, selesa dan mudah diakses oleh masyarakat.

Prasarana itu bakal menjadi tempat pelaksanaan pelbagai aktiviti termasuk dalam pemerkasaan ekonomi, pembangunan keluarga serta aktiviti sosial yang mengeratkan hubungan sesama komuniti.

Selasa lalu, DAP Melaka dilapor mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri serta-merta selepas DUN Melaka meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan.

Keputusan itu dikatakan selaras dengan pendirian parti yang menolak rang undang-undang berkenaan kerana dianggap bercanggah dengan prinsip demokrasi dan pilihan raya.

Kata Saarani lagi, seperti yang pernah dikatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam politik tiada musuh mahupun sahabat yang kekal.

Menurutnya, tumpuan kini adalah jangan sesekali saling melukai antara satu sama lain biarpun wujud perbezaan pandangan dan pendapat.

"Jangan sampai kita mengutuk, mencerca, maki hamun dan memutuskan silaturahim sebab kita manusia. Jangan juga terlepas cakap sehingga kita melukakan, menyinggung perasaan orang lain.

"Saya tak berapa setuju bila guna perkataan 'persengketaan'. Barangkali boleh kata perbezaan pendapat dan perbezaan cara pendekatan," katanya.

Sebagai rekod, Exco kerajaan Perak merangkumi komposisi empat daripada BN termasuk Menteri Besar, empat dari DAP, dua mewakili PKR dan seorang akil AMANAH.

Kerajaan negeri Perak dibentuk melalui sokongan 33 Ahli DUN (ADUN) kerajaan daripada keseluruhan 59 ADUN, dengan ADUN kerajaan membabitkan 24 ADUN PH termasuk 18 ADUN dari DAP manakala 9 ADUN adalah dari BN.

Video Terkini

Berita Berkaitan