KUALA PILAH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui mengambil risiko beralih dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat ke Linggi.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, ini kerana kerusi DUN Linggi diketahui adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak dahulu.
"Saya bertanding di Linggi. Seperti yang sedia maklum Linggi adalah antara kubu BN. Mereka menang banyak kali di situ, secara tradisinya mereka menang di situ.
"Jadi saya rasa ini peluang saya untuk memberikan apa yang termampu kepada penduduk di Linggi dan juga pastikan peluang PH untuk berjaya pada pilihan raya kali ini.
"Itu bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN, kita pernah bertanding di situ tetapi kalah. Kali ini saya bertanding di situ untuk memastikan kemenangan," katanya.
Beliau ditemui sejurus Majlis Pengumuman Calon PH PRN Negeri Sembilan yang disempurnakan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hargai pengundi DUN Sikamat
Dalam pada Aminuddin yang mesra disapa dengan panggilan Tok Min berterima kasih kepada pengundi DUN Sikamat sejak beliau bertanding pada 2008 dan memenangi kerusi itu selama empat penggal berturut-turut.
"Kepada pengundi DUN Sikamat, saya ucapkan terima kasih, saya amat terhutang budi kepada mereka. Saya sayang mereka dan saya yakin sokongan mereka kepada PH sejak sekian lama sejak Pakatan Rakyat pada 2008.
"Hingga ke hari ini mereka memberikan sokongan. Saya yakin mereka akan terus memberikan sokongan kepada calon baharu kita," katanya.
Sementara itu, Nor Azman Mohamad, Setiausaha Politik kepada Aminuddin yang dicalonkan di DUN Sikamat menyifatkan ia sebagai satu cabaran yang hebat kerana perlu meneruskan legasi ditinggalkan menteri besar itu.
"Ini bukan satu perkara mudah. Saya tidak memandang mudah persaingan ini. Mengambil alih amanat daripada Tok Min yang telah meletakkan penanda aras yang agak tinggi di Sikamat dengan khidmatnya.
"Insya-Allah saya dengan sedaya upaya akan meneruskan gerak kerja yang telah beliau laksanakan sebelum ini dan meneruskan serta memastikan kebajikan rakyat Sikamat dapat diteruskan dari masa ke semasa," katanya.
























